[VIDEO] 'Badass' di gelanggang, penyayang di rumah, peninju wanita Singapura mahu tawan dunia, lawan stereotaip jantina Asia


  • Sukses
  • Rabu, 23 Jul 2025

Efasha berada di kedudukan ke-15 dunia dalam kategori super flyweight (52kg). — Agensi

EFASHA Kamarudin, 34, bukan sekadar peninju profesional dalam sukan yang sekian lama didominasi lelaki.

Beliau juga seorang ibu, isteri, usahawan dan inspirasi buat ramai wanita di Singapura.

Di gelanggang, beliau lebih dikenali dengan nama The Face. Nama samaran yang mencerminkan persona pelbagai wajah yang mampu berubah dari seorang wanita feminin kepada atlet lasak dalam sekelip mata.

BACA LAGI: VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code'

BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z

 

 

Perjalanan Efasha dalam dunia sukan bermula sejak kecil, apatah lagi wanita tersebut membesar dalam keluarga yang aktif bersukan.

Minat itu membawanya kepada sukan karate dan seawal usia 12 tahun, beliau sudah mewakili Singapura sebagai ahli termuda pasukan kebangsaan.

Namun, segalanya berubah selepas mencuba tinju, sukan yang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi juga mental dan keazaman.

Ketika berusia 20 tahun dan masih bekerja sebagai guru tadika sepenuh masa, beliau mula serius dalam latihan tinju atas dorongan Presiden Persekutuan Tinju Singapura ketika itu.

Beliau mengimbangi dua dunia iaitu dunia kanak-kanak pada siang hari dan gelanggang sebelah malamnya. — Agensi

Namun, tidak semua bersetuju dengan pilihannya. Bekas tunang menyifatkan minatnya dalam tinju sebagai 'tidak Islamik'.

Tekanan itu akhirnya membawa pada keputusan drastik, Efasha membatalkan pertunangan dan memilih gelanggang sebagai medan perjuangan.

“Saya dah tak boleh hidup macam itu, sebab itulah saya lari dan jadi runaway fiance,” katanya tanpa ralat.

'Tinggalkan' keluarga

Pada usia 25 tahun, Efasha nekad meninggalkan rumah keluarga dan menyewa ruang kecil di bawah tangga gimnasium Spartans Boxing Club, Joo Chiat, lengkap dengan ketuhar gelombang mikro, pemanas air dan pendingin hawa.

“Saya hidup di situ. Cukup untuk teruskan hidup dan latihan,” tuturnya mengimbau kembali pengalaman awal kariernya.

Namun, cabaran fizikal bukanlah satu-satunya halangan yang kerap menghantui wanita itu.

Beliau juga berperang dengan imej tubuh sendiri dengan kerap beranggapan dirinya 'terlalu gemuk' atau 'terlalu gelap' dibandingkan dengan standard kecantikan arus perdana.

Efasha (kanan) ketika mewakili Singapura dalam acara tinju pada Sukan SEA 2015. — Agensi

Tekanan itu menyebabkan Efasha mengambil pil pelangsing dan menjalani diet ketat yang membahayakan kesihatan.

Semua itu berubah apabila beliau bertemu suaminya, Russell Harrison, Ketua Pegawai Eksekutif Spartans Boxing Club.

Sokongan dan kata-kata Russell membuka mata Efasha untuk menerima diri sepenuhnya.

“Kalau nak jadi idola kepada wanita lain, saya kena belajar sayang diri sendiri terlebih dahulu,” katanya.

Keusahawanan

Efasha tidak hanya mahu menang di atas gelanggang. Pada 2022, beliau melancarkan jenama BXHR (dibaca: box-her), satu barisan sarung tinju khas untuk wanita yang berwarna-warni dan direka mengikut anatomi golongan tersebut.

"Memakai sarung tinju yang tidak sesuai boleh mendatangkan kecederaan. Jadi saya nak didik wanita supaya pakai yang betul," jelas beliau.

Jenama tersebut, yang kini dijual di Singapura, mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran luar seperti Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Misi juara dunia

Ketika ini, Efasha berada di kedudukan ke-15 dunia dalam kategori super flyweight (52 kilogram).

Beliau memenangi perlawanan lapan pusingan di Bangkok, Thailand dengan kemenangan knockout (KO) dalam pusingan pertama baru-baru ini.

Efasha memakai sarung tinju sebelum memulakan sesi latihan. — Agensi

Namun, hasrat untuk ke kejohanan dunia di AS tertangguh apabila penganjur memilih calon lain.

“Saya tak putus harapan kerana sudah biasa dengan penolakan. Masa saya akan tiba,” ucapnya yakin.

Matlamat utamanya adalah untuk menjadi juara dunia tidak dipertikai dalam kategori super flyweight dan memiliki kesemua tali pinggang kejuaraan utama sebelum bersara pada umur 40 tahun.

Namun, laluan itu tidak murah. Kos satu musim latihan sahaja mencecah dolar Singapura (SGD)$20,000 (RM66,000) dan kini beliau sedang giat mencari penaja untuk meneruskan impian.

“Orang kata tinju itu sukan solo tapi untuk sampai ke atas, anda perlukan komuniti,” ujarnya.

Hari-hari Efasha bermula sekitar pukul 5.30 pagi. Beliau berlatih, menjaga anaknya, Zahra, mengajar fonik, berlari, melakukan latihan kekuatan dan mengurus perniagaan.

Beliau mengakui sering dihantui rasa bersalah kerana masa bersama anak tidak mencukupi.

“Namun saya harap suatu hari nanti, Zahra akan faham bahawa ibunya seorang yang badass,” katanya secara berseloroh.

Tidak seperti kebanyakan atlet, Efasha sudah pun merancang kehidupannya selepas bersara.

Beliau menceburi bidang kreatif, mungkin berlakon teater atau belajar alat muzik.

Impian paling manis baginya adalah berkunjung ke rumah tepi pantai di Australia untuk menikmati musim panas bersama keluarga.

"Saya akan sentiasa aktif cuma belum pasti dalam sukan apa," ujarnya tersenyum. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram