Bimbang kulit anak terdedah bahan kimia, Jessica Alba tampil solusi sendiri, wujudkan produk selamat buat keluarga


  • Sukses
  • Selasa, 22 Jul 2025

Dengan kepimpinan Jessica yang terus kekal relevan dan progresif, The Honest Company dilihat memiliki masa depan lebih cerah. — Agensi

DARIPADA sekadar mahu memenuhi keperluan peribadi sebagai ibu baharu kepada pengasas jenama global bernilai jutaan dolar.

Pelakon terkenal, Jessica Alba membuktikan bahawa dunia keibubapaan mampu menjadi pemangkin kepada sebuah inovasi.

Pada 2011, Jessica menubuhkan The Honest Company dengan matlamat menyediakan produk pengguna yang selamat, mesra alam dan beretika. 

Ia berpunca daripada kesukarannya mendapatkan produk bayi yang bebas toksik, tidak berbahaya dan tidak mencemarkan alam sekitar. 

BACA LAGI: Diuji kanser, mutasi genetik, 2 beradik buang organ, kurangkan risiko berulang

BACA LAGI: 'Suami sumber kekuatan,' wanita hidap kanser paru-paru tahap 4, bertarung lebih 10 tahun jalani rawatan

Kisah peribadi Jessica sebagai ibu, dikongsikan dalam blog, wawancara dan kempen promosi. — Agensi

Bermula sebagai usaha kecil bertunjangkan naluri seorang ibu, ia kini berkembang menjadi jenama gaya hidup terkemuka dengan rangkaian produk yang meliputi keperluan rumah, penjagaan diri dan kecantikan.

Inspirasi di sebalik penubuhan The Honest Company bermula apabila Jessica, ketika bergelar ibu baharu, mengalami kesukaran mencari produk bayi yang bebas bahan kimia berbahaya.

Ruam pada kulit anaknya membuka matanya tentang bahaya bahan toksik dalam produk harian yang biasa dijual di pasaran.

Ketika industri pengguna dipenuhi jenama yang mengamalkan greenwashing, The Honest Company tampil sebagai penjenamaan yang berani dan telus sepenuhnya tentang setiap bahan digunakan.

Untuk makluman, greenwashing merujuk pada taktik pemasaran mengelirukan, yang mana sesebuah syarikat atau jenama cuba menunjukkan produk mereka mesra alam atau lestari, namun hakikatnya ia tidak benar-benar memenuhi piawaian kelestarian atau keselamatan alam sekitar.

Berbeza dengan The Honest Company, setiap ramuan disenaraikan secara terbuka di laman web dan pada bungkusan produk mereka, selali gus memudahkan pengguna untuk membuat pilihan.

Syarikat itu menolak penggunaan bahan berbahaya seperti paraben, sulfat dan pewangi sintetik, sebagai langkah terhadap menjaga kesihatan dan keselamatan produk.

Dengan mengamalkan model jualan terus kepada pengguna, The Honest Company memanfaatkan sepenuhnya kuasa digital untuk mengukuhkan hubungan dengan pelanggan. 

Ia bukan sahaja membolehkan kawalan terhadap harga dan pengalaman pelanggan, malah menjadikan pemasaran lebih peribadi dan berkesan menerusi media sosial, e-mel serta kandungan interaktif.

Pendekatan itu juga memudahkan syarikat membina komuniti pengguna setia, yang bukan sekadar membeli produk, tetapi menyertai gerakan ke arah kehidupan lebih sihat dan beretika.

Berbeza dengan selebriti lain yang hanya menjadi wajah kepada produk, Jessica terlibat secara langsung dalam pembangunan produk dan keputusan strategik syarikat. 

Syarikat milik Jessica menolak penggunaan bahan berbahaya seperti paraben, sulfat dan pewangi sintetik. — Agensi

Lampin ke gincu

Kisah peribadinya sebagai ibu, dikongsikan dalam blog, wawancara dan kempen promosi.

Keikhlasan dan semangatnya menjadikan The Honest Company lebih daripada jenama, sebaliknya ia lanjutan pada perjuangan peribadi seorang wanita untuk menyediakan persekitaran selamat buat keluarganya.

Pada 2015, The Honest Company melancarkan Honest Beauty, membawa prinsip bebas toksik ke dalam dunia penjagaan kulit dan kosmetik. 

Dengan peningkatan permintaan terhadap produk kecantikan bersih, langkah tersebut membuka pasaran baharu dan mengukuhkan kedudukan jenama sebagai peneraju gaya hidup sihat serta lestari.

Hari ini, jenama tersebut menawarkan pelbagai produk daripada lampin bayi, sabun pencuci, hinggalah ke pelembap muka dan alat solek, merentas demografi serta gaya hidup pengguna moden.

Cabaran undang-undang

Namun perjalanan Honest tidak sentiasa mudah. Pada 2016, syarikat berdepan cabaran undang-undang berkaitan dakwaan tentang ketepatan label produk. 

Namun, syarikat tangkas memperbetulkan kelemahan dengan menyemak semula formula dan menambah baik dasar ketelusan mereka.

Dengan kedudukan kukuh di Amerika Syarikat (AS) dan perancangan mengembangkan sayap ke peringkat global, The Honest Company berada di landasan yang tepat untuk terus mencipta impak. 

Dengan sokongan pelanggan mahukan produk lebih sihat dan lestari, di samping kepimpinan Jessica Alba yang terus kekal relevan dan progresif, The Honest Company dilihat memiliki masa depan lebih cerah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram