SEORANG pengantin perempuan terpaksa mengharungi banjir beberapa meter untuk menuju ke Masjid Kampung Matang di Hulu Terengganu bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi Sabtu.
Zaleha Ahamad, 25, berkata, majlis pernikahan itu sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang, namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid itu kerana rumahnya dinaiki air lebih satu meter sejak Jumaat.
"Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami, Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah (26 tahun) terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.
"Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan kepada anak cucu nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Kampung Matang adalah antara kampung yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu kerana lokasinya terletak di kawasan yang agak rendah berhampiran Sungai Telemong.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia tidak menyangka banjir akan berlaku kali ini kerana kebiasaannya banjir di daerah itu hanya terjadi dalam tempoh November hingga awal Januari sahaja.
"Majlis ini dirancang sebulan lalu kerana kedua-dua keluarga pengantin beranggapan banjir sudah selesai. Walaupun tidak dapat melalui pengalaman sepertimana pengantin lain, saya dan suami tetap bersyukur kerana telah menghalalkan ikatan perhubungan.
"Khemah untuk jamuan semua tetamu pula terpaksa dialihkan ke atas jalan kerana halaman rumah dinaiki air," katanya yang mengenali suami sejak sekolah menengah.
Ketika ini, seramai 493 penduduk daripada 156 keluarga terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu dan ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) daerah itu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram