
SEORANG wanita berkongsi sisi berbeza perjalanan hidupnya selepas mengalami keguguran dan belum dikurniakan zuriat walaupun bertahun mencuba.
Menerusi hantaran di media sosial, wanita bernama Farah Puzi menceritakan bagaimana emosinya pernah runtuh satu ketika dahulu, namun kini beliau memilih untuk melihat hidup dari sudut yang lebih positif dan mensyukuri apa yang ada.
“Selepas mengalami keguguran, saya memang mudah terasa apabila orang tanya soal anak. Jiwa saya waktu tu sangat sensitif. Emosi pun belum pulih,” tulisnya.
BACA LAGI: Bila waktu terbaik untuk nikah? Berikut panduan pilih tarikh perkahwinan ikut syariat Islam
Kongsinya, beliau pernah disahkan hamil tetapi kehilangan kandungan tersebut. Sejak itu, beliau belum dikurniakan rezeki anak walaupun tiada masalah kesihatan serius.
Hanya hormon yang terganggu akibat trauma keguguran menyebabkan proses ovulasi menjadi sukar.
Menurutnya, tahun demi tahun berlalu, beliau belajar untuk menyembuhkan diri sendiri secara perlahan-lahan.
"Sekarang, saya boleh cakap yang saya sudah sembuh sepenuhnya. Beruntungnya yang saya ada waktu untuk diri sendiri yang hanya perlu fikirkan diri sendiri.
"Tak perlu fikir soal komitmen anak. Alhamdulillah, ini semua rezeki ALLAH," ujarnya.
Farah turut mengingatkan bahawa setiap bentuk kehidupan itu hadir bersama rezeki yang berbeza.
Katanya, ada anak itu rezeki, namun hidup tanpa anak juga tidak kurang nikmatnya.
"Saya belum bersedia nak fokus mencuba untuk hamil (TTC) 100 peratus sebab takut kecewa lagi dan terlalu selesa dengan hidup sekarang. Saya cuma nak hargai setiap momen yang ALLAH bagi," katanya.
Baginya, beliau tetap bersyukur setiap bulan apabila datang haid juga merupakan rezeki kerana itu juga tanda tubuhnya sihat.
Farah sempat menitipkan pesanan buat wanita lain yang sedang dalam fasa TTC.
“Kamu semua wanita hebat. Saya doakan setiap yang berusaha akan dikurniakan zuriat yang soleh dan baik. Jangan pernah rasa hidup awak kurang. Tiada satu pun yang ALLAH beri itu sia-sia," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram