
KITARAN haid yang teratur setiap bulan bukan jaminan tubuh wanita berovulasi secara normal.
Pakar perubatan, Dr. Raihana Ismail berkata, kebanyakan wanita beranggapan kitaran haid teratur menandakan kesihatan hormon yang baik.
Namun jelasnya, bagi sesetengah individu, itu boleh menjadi satu tanggapan yang mengelirukan.
"Kita selalu fikir, kalau haid datang tepat waktu setiap bulan, maksudnya okey. Tiada masalah hormon, tiada PCOS (sindrom ovari polikistik).
"Ramai perempuan setiap bulan datang bulan, kadang awal sikit, kadang lambat sehari dua saja. Jadi anda anggap semuanya normal," katanya menerusi hantaran di Threads, drraihanaismail pada Isnin.
Dr. Raihana berkata, kebanyakan wanita beranggapan kitaran haid teratur menandakan kesihatan hormon yang baik.
Bagaimanapun ujarnya, apabila sudah lama berkahwin, tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata, barulah akan timbul persoalan.
Pada ketika itu, ramai pasangan akan mengambil inisiatif untuk menjalani pemeriksaan, termasuk imbasan transvaginal (TVS) di klinik.
"Selalunya, apabila wanita buat imbasan TVS, di situlah kami kesan tanda-tanda PCOS.
“Tiba-tiba doktor tanya, awak tahu tak yang awak ada PCOS? Pesakit pun terkejut, sebab katanya dia datang haid setiap bulan,” kongsinya.
Tambah beliau, walaupun haid datang secara berkala, itu tidak bermakna proses ovulasi berjalan sempurna setiap bulan.
Menurutnya, PCOS hadir dalam pelbagai bentuk dan sering kali tidak disedari sehingga wanita mengalami kesukaran untuk hamil.
"Ada orang tak datang haid langsung. Ada yang datang tapi tak konsisten dan ada juga macam kebanyakan iaitu kitaran haid normal tapi masih ada PCOS.
"Apabila buat imbasan, ovari nampak penuh dengan folikel kecil. Banyak telur kecil, tapi tak matang.
"Jadi susah nak mengandung sebab tidak berovulasi dengan baik walaupun datang haid setiap bulan,” katanya.
Mengawal berat badan melalui diet yang sihat adalah antara cara berkesan untuk mengurangkan risiko PCOS. — Gambar hiasan
Keadaan itu menjadikan proses kehamilan sukar, kerana tanpa ovulasi sempurna, persenyawaan tidak dapat berlaku secara semula jadi.
Dr. Raihana menekankan, PCOS bukan sekadar isu haid, tetapi satu sindrom yang melibatkan ketidakseimbangan hormon, masalah metabolisme dan potensi komplikasi kesuburan.
“Wanita yang sedang merancang untuk hamil perlu faham kehadiran haid secara berkala bukanlah jaminan ovulasi berlaku setiap bulan,” ujarnya.
Tambahnya, dengan rawatan tepat dan perubahan gaya hidup termasuk pengawalan berat badan, ramai wanita dengan PCOS masih berpeluang untuk hamil secara semula jadi atau melalui bantuan kesuburan.
"Kena jaga makan, kurangkan gula, cuba untuk turunkan sikit berat badan walaupun kita bukan kategori berat badan berlebihan.
"Mungkin wanita perlu mengambil ubat untuk mengawal proses ovulasi jika ingin hamil.
"Jadi pada siapa-siapa yang TTC (Trying To Conceive), walaupun haid datang tiap bulan, tolong jangan anggap semuanya okey. Kalau dah lama cuba dan masih berjaya, lebih baik buat pemeriksaan awal," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram