Diuji kanser, mutasi genetik, 2 beradik buang organ, kurangkan risiko berulang


  • Sihat
  • Isnin, 21 Jul 2025

Kiranjeet bersyukur masih dapat mengekalkan bentuk luaran melalui pembedahan rekonstruktif. — Agensi

MENDAPAT perkhabaran diri menghidap kanser adalah satu ujian berat. 

Namun bagi Kiranjeet Kaur, cabaran menjadi berganda selepas beliau turut disahkan membawa mutasi gen BRCA2, yang meningkatkan risiko tinggi terhadap kanser payudara dan ovari.

Pada Julai 2023, guru berusia 53 tahun itu didiagnosis dengan kanser payudara tahap dua. 

BACA LAGI: 'Suami sumber kekuatan,' wanita hidap kanser paru-paru tahap 4, bertarung lebih 10 tahun jalani rawatan

BACA LAGI: Dulu cuma serang golongan putus haid, kanser endometrium kini ancaman serius wanita muda — Pakar

Kiranjeet (tengah) bersama pasukan pembedahannya dan sistem pembedahan robotik. — Agensi

Selepas menjalani ujian genetik, Kiranjeet membuat satu keputusan berani dengan membuang kedua-dua payudara, rahim dan ovari dalam satu prosedur pembedahan demi mengurangkan risiko kanser berulang.

Lebih mengejutkan, adiknya, Sharanjeet Kaur juga disahkan menghidap kanser payudara dalam waktu yang hampir sama dan positif mutasi gen BRCA. 

Beliau turut menjalani pembedahan membuang organ-organ utama dan rawatan kemoterapi serta radioterapi.

Tiga anak Kiranjeet iaitu dua lelaki dan seorang perempuan juga tidak terlepas daripada menerima ujian berat itu.

Seorang anak lelakinya, Harish disahkan positif pembawa mutasi gen yang sama, manakala anak perempuannya, Harsha akan diuji selepas cukup umur.

“Saya tak pernah sangka perkara ini akan berlaku kepada saya. Kami sudah rancang ke New Zealand untuk percutian sempena ulang tahun perkahwinan ke-25,” katanya, mengimbas detik awal menerima diagnosis.

Pembedahan 3 dalam 1

Selepas kemoterapi dan ujian genetik yang mengesahkan mutasi genetik, pasukan pakar daripada Hospital Universiti Nasional dan Institut Kanser Universiti Nasional Singapura (NCIS) menjalankan satu prosedur inovatif. 

Tiga pembedahan dilakukan serentak, yakni membuang kedua-dua payudara, rahim dan ovari menggunakan teknologi robotik secara minimal invasif.

Pembedahan tersebut, yang pertama seumpamanya di NUH dan NCIS, melibatkan insisi kecil berukuran empat sentimeter di dada dan lima lubang kecil di perut. 

Payudara Kiranjeet turut dibina semula dalam prosedur yang sama.

Pembedahan berkenaan berjalan lancar dan beliau dibenarkan pulang ke rumah keesokan harinya. 

Kiranjeet pulih dalam tempoh seminggu dan kini telah kembali bertugas sebagai guru.

Kiranjeet (kanan) bergambar bersama Harish yang turut sama mencukur rambutnya sebagai tanda sokongan. — Agensi

Simpan gambar payudara

Namun, pemulihan fizikal tidak menghapuskan luka emosi dalam diri guru itu.

“Saya sayang payudara ini. Saya tak pernah anggap diri cantik, tapi selalu rasa ia bahagian paling cantik pada tubuh saya,” luahnya.

Beliau menyimpan gambar payudara asalnya yang diambil sebelum pembedahan sebagai kenangan berharga.

Walaupun tidak banyak rasa pada bahagian payudara kini, Kiranjeet bersyukur kerana melalui pembedahan rekonstruktif, beliau masih dapat mengekalkan bentuk luaran dan berharap deria rasa akan kembali sedikit demi sedikit.

Keluarga menjadi kekuatan terbesar buat Kiranjeet saat ini. 

Ketika rambut wanita itu mula gugur akibat kemoterapi, anak-anaknya bukan sahaja mencukurkan kepalanya malah menyertai beliau.

Harish mencukur kepala sebagai tanda sokongan, manakala Harsha mencuba gaya Avatar yang mengundang ketawa sekeluarga.

“Kami benar-benar lebih rapat selepas semua ini. Saya rasa diberkati, ramai yang mungkin cemburu akan ikatan ini,” ujarnya sambil tersenyum.

Berjalan seiring dalam perjuangan menentang kanser bersama adik kandung menjadi sisi terang yang tidak disangka.

“Kami tahu, perjalanan ini memang ditakdirkan untuk kami lalui bersama dan untuk saling menguatkan,” kata Kiranjeet. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram