
PELAWAK terkenal, Amir Raja Lawak terlibat dalam satu perselisihan faham ringan dengan pendakwah bebas, Ustaz Khailil Razak susulan satu tawaran terbuka berkenaan projek jualan Pes Asam Pedas yang dimuat naik di media sosial.
Segalanya bermula apabila Khailil memuat naik satu hantaran cadangan berbentuk terbuka di Facebook, menyatakan niat untuk menawarkan RM5,000 bayaran tetap kepada Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 35, bagi menjayakan jualan pes makanan tersebut.
Selain komisen RM2 setiap pek serta penyertaan dalam cabutan bertuah umrah dan motosikal Yamaha RXZ, Khailil juga mensasarkan Amir mampu menjual sehingga 25,000 pek produk makanan berkenaan.
BACA LAGI: Ada hubungan kekeluargaan, Amir Raja Lawak kongsi pemergian legenda bola sepak Kelantan
"Geng, kalau saya bagi Amir Raja Lawak RM5000 untuk buat sales Pes Asam Pedas agak-agak dia nak tak? Pastu komisen RM2 setiap pek. Ada hadiah cabutan bertuah umrah lima orang dan RXZ. Saya sasar Amir dapat jual 25 ribu pek," katanya dalam hantaran Facebook pada Ahad.
Bagaimanapun, hantaran tersebut menerima reaksi balas daripada Amir yang kurang senang dengan pendekatan tersebut kerana dibuat secara terbuka sebelum usawahan ayam goreng itu sempat memberi jawapan secara peribadi.
"Assalamualaikum. Patut ustaz tunggu jawapan saya dulu… kalau tidak ini macam buat marketing dulu dalam keadaan saya macam ini," jawab Amir, merujuk kepada keadaannya yang kini sedang berhadapan dengan situasi peribadi yang tidak dijelaskan lanjut.
Amir turut menyatakan bahawa Khailil ada menghantar mesej secara peribadi, namun berpendapat adalah lebih baik jika tawaran tersebut tidak diumumkan terlebih dahulu di media sosial sebelum mendapat keputusannya.
Menyedari kekhilafan tersebut, Khailil tampil membuat permohonan maaf secara terbuka pada hantaran Facebook berbeza dan memperbetulkan keadaan dengan menyatakan hasratnya yang ikhlas untuk membantu Amir.
"Disebabkan ketidakselesaan Amir dan kesilapan dari saya… saya tetap nak bantu Amir. Saya up lagi payment daripada RM5,000 kepada amount yang lebih besar, dan komisen daripada RM2/pek kepada RM2.50/pek.
"Harap Amir boleh maafkan saya dan setuju untuk saya bantu. Saya ada ayah yang sedang sakit jugak, saya faham keadaan Amir sekarang," tulisnya sebagai respons kepada balasan Amir itu.
Perselisihan itu mendapat perhatian ramai netizen yang menyokong pendekatan profesional kedua-dua pihak dalam menyelesaikan isu dengan berhemah, tanpa memburukkan satu sama lain.
Selepas beberapa jam saling balas-membalas komen di Facebook, Amir membalas dengan penuh pengertian dan memaafkan Ustaz Khailil. Sambil dia mengingatkan pentingnya komunikasi yang baik sebelum membuat sebarang pengumuman yang melibatkan pihak lain.
Amir sedang mencari ikhtiar menampung kos rawatan bapa tersayang yang kini menderita kanser usus.
"Baiklah ustaz, saya maafkan. Saya okay saja, apa-apa hal bincang dulu. Biasa lah dalam keadaan macam ini, emosi saya pun terganggu juga. Kita dalam hidup ni paling bagus adalah yang boleh beri manfaat untuk orang lain.
"Haa dah saya pula yang jadi ustaz ini. Baik, Alhamdulillah saya setuju dengan tawaran sebab saya pun memang tengah nak pakai duit. In shaa Allah jumpa nanti ustaz. Kalau nak, hari Khamis nanti saya free.
"Untuk orang yang masih tak faham, walaupun niat baik sekalipun, apa-apa hal bincang dulu baru up posting atau hebohkan, lagi-lagi bila melibatkan satu pihak lain,” tambahnya.
Terdahulu, Amir mencari ikhtiar mendapatkan rawatan untuk bapanya yang menghidap kanser usus dan salah satunya mendesak pengurusan sebuah stesen televisyen melangsaikan tunggakan hutang berjumlah RM18,000 sejak tiga tahun lalu.
Pelawak berkenaan turut memuat naik gambar bersama bapanya yang kini bergantung kepada kerusi roda, sekaligus menzahirkan situasi keluarga mereka sedang dalam kesempitan kewangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram