
PENYANYI dan pelakon popular, Gillian Chung mendedahkan bahawa sudah lama bergelut dengan masalah perubahan berat badan akibat ketidakseimbangan hormon.
Lebih mengejutkan, selebriti berusia 44 tahun itu juga menghidap body dysmorphia iaitu sejenis gangguan mental berkaitan imej tubuh.
“Apabila umur makin meningkat, metabolisme makin perlahan. Nak turunkan berat badan sekarang memang susah,” katanya dalam satu temu bual bersama media Hong Kong.
Pengakuan itu dibuat ketika Gillian menceritakan cabarannya menurunkan berat badan secara drastik untuk membawa watak pesakit kanser dalam filem Good Goodbye.
Dalam temu bual sama, Gillian secara terbuka mengaku menghidap body dysmorphia iaitu satu gangguan seseorang terlalu fokus pada kekurangan fizikal, walaupun jumlah susut itu sebenarnya tidak ketara atau langsung tak wujud pada mata orang lain.
“Bukan sebab saya tak yakin dengan rupa paras. Tapi mengalami body dysmorphia,” jelasnya.
Tanda-tanda BDD termasuk:
- Terlalu memberi tumpuan terhadap penampilan fizikal sendiri secara berlebihan.
- Sering melihat cermin berulang kali atau langsung mengelak daripada melihat cermin.
- Mempunyai perasaan bahawa diri kelihatan lebih buruk berbanding orang lain.
- Berusaha menyembunyikan kekurangan fizikal dengan pakaian, solekan atau prosedur kosmetik.
- Mengelak daripada bergaul atau keluar rumah kerana rasa malu terhadap penampilan.
BDD boleh memberi kesan besar kepada kesihatan mental dan sosial jika tidak dirawat dengan betul.
Pengakuan jujur Gillian itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, kebanyakannya bersifat positif sebagai tanda sokongan untuk bangkit.
Ramai warga maya memuji keberanian Gillian bercakap soal kesihatan mental secara terbuka iaitu sesuatu yang jarang dilakukan oleh selebriti.
“Gillian pernah berisi, pernah kurus, tapi tak pernah tak cantik,” komen seorang netizen.
"Selebriti pun manusia. Terima kasih sebab kongsi perasaan sebenar,” tulis seorang lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram