'Suami sumber kekuatan,' wanita hidap kanser paru-paru tahap 4, bertarung lebih 10 tahun jalani rawatan


  • Cinta
  • Rabu, 25 Jun 2025

Menurut Roziah, suaminya ialah individu yang menjadi kekuatan buatnya untuk meneruskan hidup. — SJMC

'SAYA masih di sini dan terus melangkah ke hadapan.'

Kata-kata itu menjadi lambang semangat dan ketabahan pesakit kanser paru-paru tahap empat, Roziah yang menjalani rawatan selama lebih sedekad.

Disahkan menghidap kanser pada tahun 2014, Roziah mengakui bukan mudah untuk menerima kenyataan tersebut. Namun, beliau enggan 'melayan' penyakit itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Ambil masa setahun turun berat badan, rahsia penampilan 'fit' Siti Nurhaliza buat ramai wanita terinspirasi

BACA LAGI: Ketagihan kuasa, anggap pembantu rumah 'barang kerja' punca majikan jadi kaki dera — Pakar

Roziah mengakui sukar untuk menerima kenyataan bahawa beliau menghidap kanser paru-paru tahap empat. — SJMC

"Luluh hati mendengar berita itu, tetapi, saya bukanlah seorang yang mudah mengalah," katanya.

Walaupun berdepan kesan sampingan, Roziah tetap memilih untuk bekerja demi menjaga semangatnya. Sokongan berterusan daripada suami menjadi sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan rawatan.

“Saya mengalami rambut gugur, kulit kering, loya, tapi saya teruskan juga. Saya bekerja sebab ia beri saya kekuatan. Suami saya pun sangat menyokong.

"Beliau sentiasa berada di sisi saya ketika saya melalui segalanya dan ini menjadi sumber kekuatan saya," katanya.

Dalam rawatannya di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), pakar onkologi mencadangkan terapi bersasar berdasarkan profil genetik tumornya menerusi teknologi Penjujukan Generasi Seterusnya (NGS).

“Saya tak sangka rawatannya semudah itu. Tak perlu bermalam di hospital pun,” ujarnya, bersyukur kerana tumor berjaya dikawal dan kualiti hidupnya bertambah baik.

Namun, selepas bertahun bertindak balas positif terhadap rawatan, Roziah mula mengalami sawan. Imbasan menunjukkan sel kanser merebak ke otak, dengan satu tumor berukuran 4 sentimeter (cm) dan satu lagi hanya 2 milimeter (mm).

Tumor kedua berjaya dirawat melalui prosedur radiosurgeri selama 20 minit tanpa pembedahan.

Dr. Pathmanathan. — SJMC

Tumor tersebut berhenti membesar dan Roziah bukan sahaja memperoleh lebih masa, tetapi juga dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Dalam pada itu, Roziah turut menasihatkan pesakit lain agar tidak membiarkan ketakutan menguasai diri.

"Minta bantuan daripada orang-orang tersayang. Carilah sesuatu untuk terus hidup setiap hari dan tidak kira apa yang berlaku, perjalanan perlu diteruskan," ujar Roziah.

Menurut Profesor Dr. Pathmanathan Rajadurai dari SJMC, pendekatan rawatan kanser di Malaysia telah berubah secara ketara. Pemprofilan genomik kini memainkan peranan utama sejak peringkat awal diagnosis hingga penjagaan susulan.

“Dulu, kami hanya bergantung pada beberapa siri ujian yang lambat dan tidak jelas. Hari ini, satu ujian genomik sahaja sudah cukup untuk bantu doktor membuat keputusan rawatan yang cepat dan berkesan,” jelas beliau.

Dalam menyambut ulang tahun ke-40, SJMC terus menerajui era baharu penjagaan kanser di Malaysia sebagai hospital pertama menghasilkan data genomik kanser paru-paru di negara ini.

Data tersebut bukan sahaja memperkukuh keputusan klinikal, malah memanjangkan jangka hayat dan mengurangkan penderitaan ramai pesakit.

SJMC, sebahagian daripada Asia One Healthcare (A1Health), kekal sebagai pusat perubatan swasta terkemuka dengan reputasi kukuh dalam hasil klinikal cemerlang dan penjagaan pesakit menyeluruh.

Hospital tersier ini memiliki 442 katil dan pelbagai kepakaran merentas bidang perubatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram