[VIDEO] Kanser prostat makin pulih, Kieran mahu terus bergelar DJ, bangga FBI-Farah Fauzana masih aktif di radio


  • Hiburan
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Kieran mahu terus bergiat aktif dalam dunia radio selepas dikhabarkan semakin pulih daripada kanser prostat.

NAMANYA masyur dalam industri radio Malaysia, penyampai popular Maskiran Jakiran, 50, atau lebih dikenali sebagai Kieran menyimpan hasrat untuk meneruskan karier selaku penyampai.

Dikhabarkan semakin pulih daripada penyakit kanser prostat dihadapinya sejak Oktober lalu, anak jati kelahiran Kuala Selangor, Selangor itu kini kembali berkhidmat sebagai DJ sambilan di sebuah stesen radio tempatan.

Akui dirinya tidak mampu berpisah dari dunia radio, Kieran bersyukur apabila peranannya masih disedari ramai pihak terutamanya peminat yang sentiasa menyokongnya.

BACA LAGI: Pernah bergandingan dengan 'Robocop' dan Chow Yun-Fat, aksi Dharma Harun di pentas Hollywood kekal malar segar

BACA LAGI: [VIDEO] Turut terlibat Ejen Ali, M. Nasir belum ‘angkat kaki’ dari dunia lakonan, tunggu masa sesuai ‘comeback

Mengulas lanjut tentang industri radio negara ketika ini, Kieran gembira apabila ramai rakan-rakan seperjuangannya masih bergiat aktif dan relevan sebagai penyampai biarpun didatangi pendatang baharu yang lebih muda.

"Saya gembira bila tengok kawan-kawan saya macam FBI (Faizal Ismail), Farah Fauzana dan AG (Muhammad Azmir Selamat) masih dalam dunia radio, merek masih relevan dan itu satu perkara yang bagus.

"Bila saya jatuh sakit tahun lepas, ada yang tawarkan untuk buat part time jadi DJ, sekarang bila dah sihat saya teruskan semula kerjaya di konti walaupun cuma seminggu sekali je.

"Terpisah seketika kata orang tu ia macam, bukanlah menjauhkan diri, memang saya nak berhenti, walaupun dah hilang seketika rindu tetap ada, tipulah kalau cakap tak rindukan radio ni, saya rindukan suasana konti, berbual dengan pendengar, bergelak ketawa jadi semua tu memang susah nak berpisah, jiwa saya memang dekat radio," katanya kepada Majoriti.

 

 

Menganggap pemberian kesihatan sebagai peluang kedua dan asbab kepada perjalan seninya, bapa kepada dua cahaya mata itu enggan lagi menoleh ke belakang, sebaliknya mahu terus kekal aktif dalam industri radio.

Percaya dirinya masih berkebolehan menghiburkan pendengar-pendengar di luar sana, Kieran tidak menolak untuk menerima sebarang pelawaan kerja sekiranya ditawarkan.

"Alhamdulillah, kesihatan semakin baik orang kata mungkin ada hikmah sebaliknya jalan terus, saya tak rancang apa-apa sebenarnya, bila ALLAH bagi lagi extended life saya rasa ini tanggungjawab saya.

"Tak tolak kalau ada tawaran full time, kita cuba yang terbaik kalau kata pihak atasan suka dengan hasil kerja saya, memang mahu aktif semula sebagai penyampai radio," tambahnya.

Terdahulu, Kieran pada tahun lalu mengumumkan dirinya didiagnosis menghidap kanser prostat yang telah merebak ke kawasan seperti perut dan paru-paru.

Kembalinya Kieran ke radio yang bersiaran setiap Rabu pukul 10 pagi, telah mencetuskan semula minat pendengar termasuk mereka yang mengenali suaranya sejak zaman kanak-kanak.

Berpengalaman lebih dua dekad sejak 1999 dalam dunia radio, membuatkan dirinya antara figura yang layak digelar legenda oleh penyampai-penyampai generasi kini sekali gus mencontohi sikapnya yang tidak pernah berputus asa walaupun dilanda kesihatan kronik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram