Isteri ambil perhatian! Suami kerap sakit belakang antara tanda-tanda kanser prostat — Pakar


  • Bonda
  • Khamis, 10 Jul 2025

Lelaki berusia lewat 50-an merupakan antara golongan berisiko tinggi mengalami kanser prostat. — Gambar hiasan/Freepik

STIGMA seperti malu, menafikan dan takut antara paling kerap berlaku pada pesakit yang hakikatnya sudah lama menghidap kanser prostat.

Bahkan, ada antara mereka sanggup menahan sakit demi mengelak daripada pemeriksaan kesihatan yang pada akhirnya didiagnosis kanser tahap empat.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Sunway Medical Centre, Dr. Nik Muhd ​​Aslan Abdullah menjelaskan perkara itu merupakan antara situasi sering dihadapi dalam kalangan para pesakitnya.

BACA LAGI: Marina imbau detik cemas Tun Mahathir jalani 2 pembedahan jantung, syukur bapa masih sihat di usia 100 tahun

BACA LAGI: [VIDEO] Usia bukan penghalang, ibu tamat kursus latihan polis bantuan jadi inspirasi seisi keluarga

Akui ia cukup sinonim dengan golongan lelaki berusia lewat 50-an, Dr. Nik yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam perubatan kanser itu berkongsi bahawa isteri memainkan peranan sangat penting dalam pencegahan kanser prostat.

"Memang kadang-kadang isteri yang pujuk suami datang jumpa doktor Urologi kerana mereka yang memerhatikan suami tengah malam kerap nak buang air kecil atau siang hari.

"Biasanya isteri yang kata, pergilah periksa, pergilah periksa dan lelaki biasanya kata, tak apalah macam-macam excuse bagi aircond sejuk la, minum air banyak dan sebagainya.

"Jadi isteri memainkan peranan sebagai sokongan untuk suami menjalani pemeriksaan kerana sesetengah lelaki takut apabila mendengar prostat. Mereka ingat ada hubungan dengan alat kelamin jadi ada timbul kerisauan," katanya kepada Majoriti pada sesi perkongsian Kanser Prostat bersama media pada Rabu.

Dr. Nik Muhd ​​Aslan ketika menyampaikan maklumat berkaitan langkah pencegahan kanser prostat di Sunway Medical Centre baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan situasi kronik dihadapi segelintir individu yang terlampau malu untuk menjalani pemeriksaan hospital.

Tegas menyatakan beberapa simptom awal boleh dipantau pesakit dan golongan isteri, perubahan pada organ kalenjar prostat dan kesukaran membuang air kecil antara paling utama.

Namun, situasi boleh bertambah rumit apabila pesakit mengalami sakit tulang belakang yang mungkin menjadi petunjuk bahawa kanser tersebut telah merebak ke bahagian organ lain.

"Misalnya, ada kes pesakit tiada masalah pada bahagian sulit, tetapi terasa sakit pada bahagian tulang belakang dan lumpuh.

"Jadi apabila datang ke unit kecemasan kerana tanda-tanda itu, selepas pemeriksaan kita mendapati mereka sudah sudah mengalami stage empat bukan stage satu. 

"Sehubungan itu, apabila berdepan keadaan mungkin lebih serius anda perlu segera mendapatkan rawatan antaranya rawatan hormon. Bagaimanapun, rawatan itu boleh memberi kesan sampingan dari segi ereksi dan nafsu," tambahnya lanjut.

Statistik terkini

Di Malaysia, kanser prostat merupakan kanser ketiga paling lazim dalam kalangan lelaki dengan statistik kes melonjak bagi kumpulan pesakit lingkungan usia 60 hingga 69 tahun.

Ia terus meningkat secara mendadak mengikut usia, sekali gus meletakkan lebih ramai lelaki dalam kumpulan berisiko tinggi dikala populasi negara yang semakin menua kebelakangan tahun ini. 

Justeru, dengan langkah pencegahan awal dan sokongan daripada para isteri, kes tersebut mampu dikurangkan menerusi rawatan hospital yang merangkumi kaedah seperti Pembedahan Robotik dan pembedahan invasif minimum (MIS), pemindahan buah pinggang, pemindahan sum sum tulang, implan koklea dan transplan kornea. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram