
TREND media sosial terkini dikenali sebagai trend S-Line disifatkan memperlekehkan maruah wanita dan secara tidak langsung mengangkat budaya zina sebagai bahan gurauan.
Pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin berkata, lebih membimbangkan, trend tersebut kini ditiru secara meluas termasuk dalam kalangan wanita Islam yang bertudung tanpa menyedari implikasi serius di sebaliknya.
BACA LAGI: Berbulan jadi hamba seks selepas maklumat sulit jatuh ke tangan 'predator' seksual
BACA LAGI: ‘Bila tak sah, boleh jadi anak zina’, Mufti perjelas status zuriat hasil kahwin lain agama
"Memanglah saya tahu niat nak bergurau, tapi perasan tak benda ini berkaitan dengan zina?
"Trend ini seolah-olah awak telah membanggakan, menguar-uarkan, membesarkan budaya zina dan anggap ia normal," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya pada Sabtu.
Menurut Asmak, walaupun niat pengguna hanyalah untuk berseronok, tindakan menormalisasikan simbol atau isyarat dikaitkan dengan perbuatan zina adalah sesuatu yang sangat membimbangkan dari sudut akidah dan moral.
Asmak berkata, trend itu berisiko mempengaruhi pemikiran kanak-kanak yang belum mempunyai keupayaan untuk membezakan antara gurauan dan realiti.
Beliau turut mempersoalkan kedudukan maruah wanita dalam trend sedemikian yang secara tidak langsung menjadikan kaum Hawa sebagai objek bahan ketawa berdasarkan jumlah garisan dilukis.
“Mana maruah sebagai wanita? Ketawa ramai-ramai, lukis garisan palsu di atas kepala, tapi sedarkah, ia menyeret kita kepada budaya menjatuhkan harga diri sendiri?" soalnya.
Tegas Asmak, trend itu juga berisiko mempengaruhi pemikiran kanak-kanak yang belum mempunyai keupayaan untuk membezakan antara gurauan dan realiti.
"Bayangkan, bukan kita (golongan dewasa) saja yang tonton drama ini, tapi kanak-kanak pun tengok dan scroll dekat TikTok juga.
"Ia mungkin tertanam dalam pemikiran generasi muda bahawa zina itu perkara biasa, sedangkan kita anggap ia hanya gurauan," jelasnya.
K-drama S-Line mengisahkan seorang gadis remaja memiliki sepasang cermin mata ajaib.
Untuk rekod, trend S-Line diinspirasikan daripada drama daripada Korea Selatan bertajuk S-Line, yang ditayangkan sejak 11 Julai lalu.
S-Line merupakan siri fiksyen berunsur misteri dan fantasi mengisahkan seorang gadis remaja yang memiliki sepasang cermin mata ajaib.
Dengan cermin mata itu, beliau mampu melihat garisan berwarna merah tertera di atas kepala setiap individu, simbolik kepada bilangan pasangan seksual yang pernah mereka jalinkan hubungan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram