'Jangan sampai termakan harta batil', Peguam Syarie tegaskan hukum tinggal rumah pusaka boleh jatuh haram


  • Cinta
  • Khamis, 10 Jul 2025

Rumah pusaka tidak boleh dihuni sembarangan tanpa keizinan waris sah yang lain. — Gambar Hiasan

TINDAKAN menghuni rumah pusaka tanpa keizinan waris lain adalah haram dari sudut syarak, meskipun seseorang itu banyak berjasa menjaga arwah sepanjang hayatnya.

Perkara itu ditegaskan oleh peguam syarie, Nuaimi Razak menerusi satu hantaran di TikTok yang kini tular sehingga menarik perhatian ramai warganet yang berdepan isu pembahagian harta pusaka keluarga.

Menurut Nuaimi, waris yang tinggal di rumah pusaka perlu sedar bahawa keizinan untuk menetap tidak bermakna mereka memiliki rumah tersebut secara mutlak. 

BACA LAGI: 'Nafkah zahir, layanan semua okey tapi suami kantoi mati pucuk hari pertama kahwin', bolehkah isteri fail cerai?

BACA LAGI: 'Nafkah zahir, layanan semua okey tapi suami kantoi mati pucuk hari pertama kahwin', bolehkah isteri fail cerai?

Selagi tiada persetujuan rasmi atau pelepasan hak daripada waris lain, kedudukan pemilikan masih terikat kepada semua pewaris yang sah.

“Jangan sampai termakan harta batil. Selagi tiada persetujuan, waris-waris lain tetap mempunyai bahagian mereka ke atas rumah itu. Jangan ambil mudah,” katanya.

Tambah beliau, antara penyelesaian yang boleh dicapai sesama waris ialah melalui proses takharuj, iaitu persetujuan melepaskan hak atau bahagian dalam harta pusaka oleh salah seorang atau beberapa waris demi kebaikan bersama.

Namun, takharuj perlu dilaksanakan dengan prinsip saling meredai dan penuh toleransi iaitu sebaik-baiknya secara bertulis agar tidak timbul sebarang pertikaian pada masa depan.

Beliau turut menekankan bahawa waris yang ingin melepaskan bahagian mereka mesti memenuhi lima syarat utama:

1. Waris tersebut baligh dan berakal.

2. Mampu menguruskan harta.

3. Faham dan jelas dengan bahagian yang akan diterima.

4. Bertindak secara sukarela, bukan di bawah paksaan.

5. Pelepasan boleh dilakukan dengan atau tanpa sebarang balasan.

“Jika semua syarat ini tidak dipenuhi, waris tersebut masih mempunyai hak terhadap rumah pusaka. Rumah itu bukan milik mutlak sesiapa, melainkan telah diselesaikan mengikut hukum,” jelas Nuaimi.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut mengingatkan bahawa rumah pusaka yang belum dibahagikan secara sah perlu dianggap sebagai amanah untuk dijaga dan diurus dengan baik dan bukan dijadikan hak peribadi sewenang-wenangnya.

"Walaupun kita yang paling banyak berjasa ketika arwah hidup, jasa itu tidak menggugurkan hak waris lain. Tetap ada batas dan sekatan yang perlu dihormati,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram