‘Bila tak sah, boleh jadi anak zina’, Mufti perjelas status zuriat hasil kahwin lain agama


  • Mukmin
  • Khamis, 15 Sep 2022

Menguasai ilmu agama terutamanya dari segi fardhu ain iaitu menunaikan solat dan bahagian akidah adalah keutamaan sebelum berkahwin. — Gambar Hiasan

UMUM mengetahui bahawa Malaysia mengamalkan kepelbagaian budaya daripada rakyat berbilang kaum dan agama.

Ia termasuk dari segi perayaan, pakaian, makanan dan kepercayaan yang menyebabkan kaum-kaum di negara ini bersatu-padu.

Di sebalik perpaduan yang tidak mengenal kaum ini, ada juga di antaranya sanggup berkahwin dengan pasangan yang berlainan agama.

Sebagai contoh, terdapat seorang lelaki Melayu dan beragama Islam didakwa berkahwin dengan wanita bangsa Cina dan menganut agama Buddha.

Dalam Islam, sekiranya seorang Muslim mahu berkahwin dengan pasangan dari agama lain, pasangan mereka wajib memeluk agama Islam.

Namun, bagaimana pula dengan status perkahwinan serta anak hasil hubungan pasangan suami isteri yang berlainan agama ini?

Bagi mengulas isu ini, Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron menegaskan jika perkahwinan itu diteruskan tanpa memeluk agama Islam, cahaya mata yang dilahirkan tersebut boleh dikategorikan sebagai anak zina.

Oleh sebab itu, jika ingin mengelak sebarang masalah berlaku, pasangan terbabit wajib memeluk Islam terlebih dahulu sebelum meneruskan perkahwinan berkenaan.

sabri

Mohamad Sabri menasihatkan mengenai pentingnya bekalan ilmu agama sebelum berkahwin. — Gambar Hiasan

“Kena masuk Islam dulu, kalau tidak perkahwinan itu tidak sah. Dulu ada isu orang Islam boleh kahwin dengan ahli kitab yang berpegang dengan kitab asal iaitu Injil, Taurat tapi itu dulu, ketika zaman Saidini Umar dah tidak benarkan.

“Masalah jika yang asas dibolehkan, akhirnya kesan akan timbul masalah sama ada anak itu mungkin Islam atau tidak. Dia akan jadi isu perundangan. Dia akan pilih agamanya sendiri. Takut dia tak pilih Islam.

“Bila dah tidak sah daripada awal, status anak itu jadi anak zina. Begitu kesan dia,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, beliau turut memberi nasihat bahawa mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu agama adalah tanggungjawab setiap pasangan sebelum membuat kata putus untuk meneruskan perkahwinan.

Menguasai ilmu agama terutamanya dari segi fardhu ain iaitu menunaikan solat dan bahagian akidah adalah keutamaan sebelum berkahwin.

“Bila kedua-duanya dah Islam, pasangan itu perlu fahami agama ini, kena tahu tanggungjawab sebagai orang Islam.

“Ada Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) dan Pertubuhan Mualaf Malaysia. Memang dua-dua kena sentiasa belajar terutamanya fardhu ain seperti solat dan akidah,” jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram