[VIDEO] 'Sticker pun print sendiri, cookies tak boleh telan', Aunty Ja terbang ke Bintulu bongkar penipuan Suka Dessert palsu


  • Maya
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Aunty Ja menunjukkan perbezaan jelas antara biskut asli Suka Dessert dan versi tiruan yang dijual secara palsu di Bintulu.

SIAPA sangka niat seorang pelanggan untuk menikmati biskut viral daripada jenama terkenal, Suka Dessert, berakhir dengan rasa hangit dan pelekat palsu.

Lebih mengejutkan, pemilik sah jenama tersebut sendiri, Siti Hajar Mohd Razali atau lebih dikenali sebagai Aunty Ja, sanggup meninggalkan jadual padat dan terbang dari Selayang ke Bintulu semata-mata untuk membongkar kebenaran.

Kisah bermula apabila beberapa pelanggan mula mengadu kepada pihak Suka Dessert tentang kualiti biskut yang dibeli melalui seorang 'personal shopper' di Sarawak.

BACA LAGI: Dekorasi indah disulami haruman, tip pilih aromaterapi ikut gaya hiasan kediaman

BACA LAGI: 'Pertama kali ibu pegang duit sebanyak itu', RM800,000 duit hibah licin tak sampai setahun, terpaksa lupakan hasrat naik haji

Rasa biskut dikatakan jauh berbeza, malah ada yang menyebut "tak boleh telan langsung".

Lebih parah, bekas dan pelekat digunakan seolah-olah tulen, sedangkan bukan.

Aunty Ja yang menerima aduan bertalu-talu akhirnya mengambil keputusan drastik apabila membatalkan mesyuarat, suami mengambil cuti kerja dan mereka berdua sendiri ke Bintulu untuk mendapatkan jawapan terus daripada individu yang menjual biskut palsu itu.

Dalam satu rakaman video yang dikongsikan Suka Dessert, wanita terbabit akhirnya mengaku:

"Saya yang buat cookies ini, sticker ini saya print sendiri, semua saya buat sendiri. Bukan dari Suka Dessert."

Pengakuan itu dibuat selepas didesak secara bersemuka.

Sebelum ini, wanita berkenaan berkeras mengatakan biskut itu adalah produk rasmi dari Suka Dessert, hanya dibungkus semula.

Malah dia mendakwa telah mendapat keizinan, namun tiada bukti kukuh, tiada pelekat berlebihan yang boleh ditunjukkan.

Lebih mengejutkan, pelekat yang digunakan turut dikesan sebagai cetakan sendiri dengan resolusi dan warna tidak menyerupai produk asal.

Biskut juga tidak sama apabila saiznya berbeza-beza dan bentuk tidak konsisten, berbeza dengan keluaran Suka Dessert yang menggunakan mesin.

"Ini bukan saja cetak rompak fizikal, tapi juga mencemarkan imej kami.

"Kita kena betul-betul jaga jenama, sebab bila pelanggan rasa cookies hangit itu yang disalahkan tetap kita," kata Aunty Ja dalam video tersebut.

Akhirnya, wanita terbabit bersetuju untuk membuat pembayaran semula kepada semua pelanggannya.

Menurutnya, proses bayaran balik sudah dimulakan dan pengakuan penuh telah dibuat kepada pihak Suka Dessert.

Apa yang kita belajar dari kes ini?

1. Jenama bukan sekadar nama – Apabila satu produk dikenali ramai, ia bukan semata-mata soal rasa, tapi juga kepercayaan. Sekali dikhianati, ia mencalarkan reputasi bertahun-tahun.

2. Kesedaran tentang 'personal shopper' – Tidak semua yang bergelar 'reseller' atau 'PS' ada hak jual. Pelanggan disarankan berhati-hati dan periksa dahulu sumber produk.

3. Pengorbanan seorang pengusaha – Tindakan Aunty Ja dan suaminya menunjukkan betapa seriusnya mereka dalam menjaga integriti jenama. Terbang beribu kilometer demi menjaga amanah dan memperjuangkan kepercayaan pelanggan bukan sesuatu yang kecil.

Walaupun kes dianggap selesai, Aunty Ja tampil dengan pesanan penting:

"Saya buat video ini bukan untuk membesarkan hal, tapi untuk lindungi pelanggan kami. Suka Dessert bukan sekadar jual cookies – kami jual rasa, kenangan dan janji." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram