
SUDAH menjadi tanggungjawab suami untuk menyediakan kelengkapan dari segenap sudut buat isteri dan anak-anak sebagai nafkah keluarga.
Malah, istilah lelaki 'provider' digunakan generasi Z (Gen-Z) hari ini menggambarkan peranan sang suami sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga yang juga merupakan amanah terbesar usai mendirikan rumah tangga.
Tidak hanya terbatas pada soal penyediaan makan dan minum, ia juga merangkumi perancangan masa depan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka, seperti kematian.
Kebelakangan ini, ramai isteri dan anak-anak berdepan kesukaran selepas kehilangan suami dan ayah tercinta kerana ketiadaan perancangan kewangan yang rapi.
Berkongsi tip berdasarkan pengalaman dihadapi, @shakirahfz menggesa agar sang suami di luar sana lebih cakna akan kebajikan serta masa depan keluarga terutamanya ketika dilanda musibah.
"Rezeki itu bukan in term of duit je tau, kadang-kadang urusan harian mudah dan ALLAH hadirkan orang sekeliling yang baik.
"Ini apa yang saya rasa penting setiap suami provider ni perlu buat supaya isteri dan anak-anaknya tak terkontang-kanting jika ditakdirkan suami meninggal dulu," katanya di laman Threads.
1. Letakkan penama bagi setiap simpanan
Simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) perlu ada penama.
Masih ramai belum cakna bahawa penama bukan pewaris mutlak, tapi berperanan sebagai pentadbir bagi menguruskan wang simpanan dimiliki.
Maka, tanpa penama, wang simpanan akan tertakluk kepada prosedur pusaka kecil yang boleh mengambil masa bertahun dan menyukarkan balu atau anak-anak mendapatkan bantuan kewangan segera.
Justeru, dengan adanya penama, proses pengeluaran akan menjadi lebih mudah dan cepat khususnya dalam situasi kritikal seperti perbelanjaan harian atau kos pengurusan jenazah.
2. Simpanan bertakaful anak melalui SSPN-i Plus
Skim SSPN-i Plus bukan sahaja platform simpanan pendidikan, tetapi juga dilengkapi manfaat takaful kesihatan.
Caruman serendah RM30 sebulan sudah cukup untuk memberikan perlindungan bernilai puluhan ribu ringgit kepada anak-anak jika si pencarum meninggal dunia.
Sebagai contoh, jika si ayah mencarum untuk setiap anak, manfaat takaful sekitar RM24,000 boleh diperoleh untuk satu akaun anak selepas kematian.
Ini mampu menjadi dana permulaan penting untuk kelangsungan pendidikan atau sara hidup si kecil apabila meningkat dewasa kelak.
3. Manfaatkan caruman PERKESO atau pencen penakat
Khas buat pekerja di sektor swasta, caruman PERKESO perlulah sentiasa aktif bagi membolehkan isteri dan anak-anak layak menerima pencen penakat bulanan sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau penyakit.
Walaupun jumlahnya tidak sebesar gaji asal, ia boleh menjadi talian hayat penting untuk menampung keperluan asas keluarga.
Caruman PERKESO mampu berperanan sebagai talian hayat buat individu berdepan kematian keluarga. — Gambar hiasan
Bagi penjawat awam pula, keluarga biasanya menerima pencen terbitan atau ganjaran tertentu mengikut skim perkhidmatan.
Namun, semakan perlu sentiasa dibuat agar tiada caruman tertunggak atau rekod yang tidak dikemas kini bagi kedua-dua kumpulan pekerja sama ada di sektor swasta ataupun awam.
4. Minimumkan hutang dan perlindungan takaful
Sang suami perlu bijak merancang hutang contohnya, ambil perlindungan takaful untuk pinjaman perumahan dan kenderaan.
Dengan cara ini, jika berlaku kematian, baki pinjaman akan dilangsaikan oleh pihak takaful dan keluarga tidak terbeban dengan bayaran bulanan.
"Untuk suami provider jugak, please minimumkan your hutang, jika ada loan dengan bank ke, loan rumah atau kereta ke, perlu untuk ambil insurans protection,arwah suami saya tak tinggalkan hutang untuk saya dan anak-anak," ujarnya.
5. Kongsi maklumat kewangan dengan isteri
Kebanyakan isteri bagai hilang arah usai kehilangan suami kerana tidak pernah dikhabarkan tentang urusan kewangan rumah tangga.
Makan, sebaiknya suami perlu berkongsi maklumat penting seperti kata laluan perbankan atas talian, nombor akaun, maklumat takaful dan senarai aset serta hutang yang dimiliki.
Perkara itu termasuk juga maklumat siapa yang berhutang dengan suami atau siapa yang perlu dijelaskan hutangnya.
Perkongsian awal itu sangat membantu isteri menguruskan urusan pusaka dan kewangan selepas pemergian suami selain mencegah risiko pertelingkahan keluarga atau waris mengenai harta peninggalan.
Tidak dinafikan, perancangan kewangan keluarga merupakan antara topik yang jarang dibincangkan pasangan di luar sana terutamanya melibatkan hal kematian.
Namun, ia adalah antara bentuk tanggungjawab paling penting dalam kehidupan berkeluarga kerana peranan suami bukan sekadar memberi rezeki, tetapi juga memastikan isteri dan anak-anak tidak terabai sekiranya berdepan kematian.
Dengan langkah serta perancangan awal lebih teratur, nescaya masa depan keluarga dan insan tersayang akan lebih terjamin walaupun hakikatnya kehilangan adalah perkara pahit untuk ditelan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram