
LEGENDA muzik pop era 60-an, Connie Francis yang terkenal dengan lagu Pretty Little Baby dan Who's Sorry Now?, disahkan meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Berita pemergian penyanyi ikonik itu diumumkan oleh rakannya Ron Roberts pada Khamis namun, butiran lanjut mengenai punca kematian tidak didedahkan setakat ini.
Merupakan antara nama besar dalam industri muzik sebelum kemunculan kumpulan The Beatles, kariernya muziknya memuncak lepas kerap tersenarai dalam carta lagu popular hits di Amerika Syarikat (AS) menerusi lagu seperti Don’t Break the Heart That Loves You dan The Heart Has a Mind of Its Own.
BACA LAGI: Abeer penerus legasi ibu, anak Sharifah Khasif johan Tilawah Al-Quran MQSS 2025
Selang beberapa dekad, nama Francis kembali mendapat perhatian pada 2025 apabila lagu Pretty Little Baby, yang dirakam 63 tahun lalu tular di laman TikTok.
"Sejujurnya, saya langsung tidak ingat lagu itu! Saya terpaksa dengar semula untuk mengingatinya, mengetahui lagu lama saya berjaya menyentuh hati jutaan orang muda hari ini, ia satu perasaan yang luar biasa," katanya dalam satu temu bual sebelum ini.
Bermula di usia muda
Connie memulakan karier seninya pada usia 17 tahun selepas menandatangani kontrak dengan MGM Records.
Walaupun beberapa rakaman awalnya kurang mendapat sambutan, Connie akhirnya menempa nama dengan genre balada klasik Who’s Sorry Now?, yang berjaya melonjakkan popularitinya pada 1958.
Lagu-lagu seperti Stupid Cupid, Everybody’s Somebody’s Fool dan Lipstick on Your Collar menjadikan dia antara idola para remaja ketika itu.
Berkebolehan merakam lagu dalam pelbagai bahasa seperti Itali dan Sepanyol, keunikan itu menambahkan lagi pengaruh globalnya.
Selain daripada bidang nyanyian, Connie turut membintangi beberapa filem popular Hollywood seperti Where the Boys Are dan Follow the Boys.
Kehidupan tragis di sebalik populariti
Namun, di sebalik kegemilangan dikecapi dalam dunia hiburan, kehidupan peribadi Connie turut dipenuhi kisah sedih yang jarang dikongsikan di laman sosial.
Hubungan cintanya dengan penyanyi terkenal Bobby Darin berakhir tragis selepas ayahnya, George Franconero memutuskan hubungan mereka secara drastik.
Dalam autobiografinya berjudul Who's Sorry Now?, Connie mengakui dirinya terlalu berlembut dan membenarkan hidupnya dikawal bapanya.
"Seluruh hidup saya adalah satu penyesalan dari A ke Z,” katanya dalam temubual pada 1984.
Tragedi paling menggemparkan berlaku pada 1974 apabila dia dilaporkan menjadi mangsa rogol di sebuah bilik hotel selepas mengadakan konsert.
Malangnya, pelaku berjaya meloloskan diri dan Francis kemudiannya memfailkan saman terhadap hotel berkenaan dan menerima pampasan mencecah AS$1.4 juta (RM6 juta).
Pada 1981, abangnya, George, mati ditembak di luar kediamannya dan disahkan mengalami gangguan bipolar.
Mengalami tekanan dan stres melampau, Connie menggemparkan dunia muzik antarabangsa apabila pernah cuba membunuh diri, namun terselamat selepas tiga hari koma.
Walaupun hidupnya penuh ujian, Connie Francis terus diingati sebagai suara emas era 60-an yang berjaya menawan pelbagai lapisan masyarakat dunia.
Pemergiannya menandakan kehilangan besar dalam dunia muzik, namun legasinya akan terus hidup menerusi lagu-lagu abadi yang kini kembali bergema di platform moden seperti TikTok. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram