
MASYUR di pentas hiburan tanah air, maestro muzik Datuk M. Nasir, 68, atau nama lengkapnya, Mohamad Nasir Mohamed kekal relevan menjangkau empat dekad bertapak dalam industri negara.
Juga merupakan komposer prolifik dengan lebih 3,000 lagu untuk diri sendiri dan artis lain, maka tidak hairanlah mengapa anak kelahiran Bukit Panjang, Singapura itu mesra disapa ‘sifu’ oleh penggiat seni tempatan.
Biarpun lebih dikenali dalam industri muzik, bakatnya di layar perak juga tidak kurang hebatnya apabila pernah membintangi beberapa filem nostalgia era 90-an seperti Fenomena (1990), Selubung (1992) dan Merah (1996).
BACA LAGI : Visi Sheikha Mozah realisasikan Al-Mujadilah Center, masjid khas wanita pertama di dunia
BACA LAGI : [VIDEO] Cik Man kongsi taktikal 'penalti halus', rahsia kemenangan skuad Ex Treble Kelantan
Paling ikonik semestinya watak Hang Tuah dilakonkan menerusi filem epik Puteri Gunung Ledang (2004) yang nyata meninggalkan impak besar terhadap industri hingga ke hari ini.
Hang Tuah lakonan M. Nasir meninggalkan impak besar terhadap industri perfileman melayu tanah air.
Namun, beberapa tahun kebelakangan ini wajah dan kelibatnya dalam dunia perfileman semakin berkurangan dengan penglibatannya lebih banyak tertumpu pada bidang muzik.
Menepis tanggapan peminat yang mendakwa dirinya sudah ‘angkat kaki’ dari dunia filem, M. Nasir masih terbuka untuk melakonkan mana-mana watak yang bersesuaian.
“Mungkin ramai yang dah tahu tapi saya lebih banyak terlibat dalam pembikinan filem menerusi belakang tabir, saya sekarang sedang mengusahakan sebuah filem.
“Comeback tu masih boleh, masih terbuka untuk mana-mana filem yang sesuai dengan watak cuma sekarang lebih banyak terlibat bukan sebagai watak utama.
“Umpamanya baru-baru ni saya terlibat Ejen Ali, akan datang ni sebuah filem, bukan arahan saya tapi saya menerbitkannya,” katanya pada sidang media konsert Datuk M. Nasir ‘CIPTA 3’ di Hard Rock Kafe, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, konsert yang dijadual bakal berlangsung pada 27 September di Axiata Arena, Kuala Lumpur itu menjadikan konsep ‘Malam Ini Gua Rock’ sebagai tema utama sempena edisi ketiganya selepas kejayaan pada siri terdahulu.
Bertepatan dengan pengisian konsert kali ini, M. Nasir bakal mempersembahkan lebih 20 lagu-lagu rock nyanyian dan ciptaannya yang pernah meninggalkan kesan di jiwa nostalgia peminatnya satu ketika dahulu.
Ketika disoal tentang persiapan dan cabaran menjelang konsert ‘CIPTA 3’ kelak,
graduan Diploma Seni Halus, Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura yakin dirinya sudah bersedia 100 peratus untuk menghiburkan peminatnya.
“Persiapan saya dah siap lama dah, 40 tahun dahulu siap dah, selagi jiwa rock tu ada dalam diri kita, maka sentiasa akan bersiap sedia.
“Jiwa saya ya memang rock, jadi itu dah tradisi sejak dahulu lagi, jadi konsert ni bertemakan muzik rock dan lagu-lagu lain yang bakal dijadikan rock juga,” tambahnya.
Tiket konsert akan mula dijual bermula 4 Julai dengan harga RM 258 (TEGUH), RM358 (OPERA HIDUP), RM458 (ISI DAN KULIT), RM488 (SEJATI), RM558 (GADISKU) dan RM 628 (PAWANA) menerusi www.ticket2u.com.my/mnasircipta3 atau hubungi talian WhatsApp 012 6530 700.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram