
BIARPUN memiliki produk kosmetik sendiri di bawah jenama mewah Kylie Cosmetics, Kylie Jenner tegas menyatakan bahawa anaknya, Stormi Webster, 7, masih belum dibenarkan memakai sebarang solekan muka.
Menerusi satu hantaran video Get Ready With Me (GRWM) dimuat naik baru-baru ini, Kylie dan Stormi berkongsi momen manis apabila membuat tutorial solekan bersama.
Tidak mengenakan sebarang solekan pada awal video tersebut, dua beranak itu mula memperkenalkan barangan dan produk Kylie Cosmetics kepada peminat-peminatnya.
Terlebih dahulu memulakan sesi itu, Stormi mula mencuba pelembap bibir 'lip butter' sebelum mengenakan pemerah pipi dan sedikit maskara sambil dibantu ibunya.
"Stormi memang suka bermain dengan barangan solek saya, tetapi sudah tentu dia belum benar-benar memakai alat solek lagi," jelas Kylie.
Bukan sekadar video solekan semata-mata, momen itu memaparkan hubungan erat antara ibu dan anak yang wajar menjadi contoh masyarakat dunia.
Dalam masa sama, Stormi turut berkongsi pengalaman percutian mereka di Greece sekitar bulan lalu.
"Saya suka bot yang kami naiki, saya suka makanan dan airnya sangat suam," ujarnya.
Memuji kecantikan dimiliki anaknya yang disifatkan sebagai 'natural' tanpa sebarang solekan, Stormi mewarisi bakat dan minat Kylie di pentas peragaan apabila kerap hadir bersama pada majlis karpet merah berprestij.
"Ibu selalu beritahu awak, awak paling cantik tanpa solekan," ujarnya.
Dalam pada itu, pemakaian solekan pada kanak-kanak boleh membawa pelbagai kesan negatif seperti iritasi kulit, alahan, jerawat dan gangguan hormon kerana kulit mereka masih sensitif dan belum matang.
Selain risiko fizikal, ia juga memberi tekanan terhadap imej diri, menjadikan anak terlalu bergantung pada penampilan untuk rasa yakin, serta mendedahkan mereka kepada pengaruh dan gaya hidup dewasa yang tidak sesuai dengan usia.
Mengakhiri video itu dengan satu pelukan, Kylie dan Stormi memperlihatkan sisi keibuan selebriti yang jarang dikongsi secara peribadi kepada umum dan sekali gus memberi inspirasi kepada ibu bapa lain bahawa kasih sayang dan bimbingan lebih penting daripada populariti semata-mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram