Pernah bergandingan dengan 'Robocop' dan Chow Yun-Fat, aksi Dharma Harun di pentas Hollywood kekal malar segar


  • Hiburan
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Dharma Harun pernah membintangi filem Hollywood seperti Fifty/Fifty (1992) dan Anna and the King (1999).

NAMA Dharma Harun Al-Rashid, 68, mungkin kurang dikenali dalam kalangan generasi muda hari ini, namun pelakon yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu itu sebenarnya memiliki pencapaian luar biasa dalam dunia seni.

Merupakan antara pelakon lelaki popular era 1980-an, Dharma bukan sahaja dikenang melalui filem-filem tempatan seperti Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983), tetapi juga kerana kejayaannya menembusi industri filem Hollywood.

Antara pencapaian yang jarang dimiliki pelakon Malaysia pada ketika itu, kejayaannya membuktikan bahawa dia antara insan seni yang wajar dijadikan contoh pelakon generasi hari ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Turut terlibat Ejen Ali, M. Nasir belum ‘angkat kaki’ dari dunia lakonan, tunggu masa sesuai ‘comeback

BACA LAGI: [VIDEO] Helmet XX Ray, topi Back To The Future siap ‘sign’ Michael J. Fox antara koleksi eksklusif ‘influencer’ Malaysia

Pada 1992, Dharma melakar sejarah peribadi apabila diberi peluang beraksi dalam filem aksi Hollywood berjudul Fifty/Fifty, lakonan bersama Peter Weller yang juga pelakon utama filem ikonik Robocop.

Filem tersebut menjalani penggambaran di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Asia Tenggara, termasuklah Malaysia dan Dharma antara wajah tempatan yang diberi kepercayaan oleh produksi antarabangsa.

 

 

 

 

Selang tujuh tahun kemudian, pelakon asal Ipoh, Perak itu sekali lagi mencuri perhatian apabila muncul dalam filem epik Anna and the King (1999), arahan Andy Tennant, yang dibintangi oleh dua bintang ternama, Chow Yun-Fat dan Jodie Foster.

Filem berskala besar itu turut menjalani penggambaran di Malaysia dan Dharma memainkan peranan sebagai watak pembantu tempatan.

Walaupun bukan watak utama, kehadiran Dharma dalam kedua-dua filem itu menjadikannya antara kumpulan pelakon Malaysia yang berjaya menjejak kaki ke dunia perfileman antarabangsa pada era tersebut.

 

Bukan sekadar pelakon, juga penyanyi berbakat

Tidak ramai yang tahu selain bergelar pelakon, Dharma juga pernah mencuba nasib sebagai penyanyi.

Pada 1980, bapa kepada dua cahaya mata itu pernah melancarkan sebuah album solo berjudul Jika Kau Bermimpi Aku Disisimu, di bawah label WEA Records.

Album tersebut menampilkan lapan buah lagu berkonsepkan pop balada yang popular ketika itu, hasil susunan muzik oleh komposer terkenal seperti Ahmad Nawab dan Akbar Nawab.

Bertitik tolak daripada itu, lagu-lagunya menjadi siulan di corong radio dan wajah Dharma kerap menghiasi kulit majalah hiburan tempatan.

 

Album solo berjudul Jika Kau Bermimpi Aku Disisimu diterbitkan pada 1980.

 

Kini, di usia senja dan selepas mengalami masalah kesihatan termasuk serangan angin ahmar pada 2019, Dharma lebih banyak berehat dan menerima rawatan.

Baru-baru ini, kisah perjuangan hidupnya kembali tular apabila menerima bantuan menerusi kunjungan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.

Pada pertemuan itu, DJ Dave menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Dharma bagi meneruskan kelangsungan hidupnya sekali gus mengangkat semula nama Dharma di mata generasi baharu yang mungkin tidak pernah mengenalinya.

Lakonannya di layar perak, suaranya dalam muzik, serta penampilannya di pentas antarabangsa kekal sebagai bukti bahawa bakat tempatan mampu pergi jauh.

Dalam sejarah hiburan negara, nama Dharma Harun akan terus terpahat sebagai pelakon versatil yang pernah mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram