[VIDEO] Isteri padam Facebook, CEO Astronomer akui kesilapan, mohon maaf kepada keluarga dan kakitangan


  • Maya
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Byron (kanan) dikecam selepas didakwa berlaku curang dengan seorang wanita ketika menghadiri konsert Coldplay baru-baru ini. — Agensi

KETUA Pegawai Eksekutif syarikat teknologi data, Astronomer, Andy Byron tampil memohon maaf secara terbuka susulan tular video memaparkan dirinya berpelukan bersama seorang wanita di konsert kumpulan rock dari British, Coldplay baru-baru ini.

Video berkenaan mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan warga maya dan mendorong pelbagai spekulasi berkaitan integriti serta imej profesional beliau.

Byron dalam satu kenyataan pada Rabu menyifatkan insiden itu sebagai kesilapan peribadi dan mengakui tindakannya telah mengecewakan ramai pihak.

BACA LAGI: Tularkan kandungan mesej pasangan curang, jelik boleh dikenakan tindakan — Peguam syarie, peguam bela

BACA LAGI: Bukan hanya kerana nafsu, pakar dedah 5 sebab pasangan berlaku curang walau masih sayang

 

 

Beliau turut mengambil tanggungjawab penuh dan memohon ruang untuk memperbaiki keadaan.

“Hal yang sepatutnya menjadi malam muzik dan kegembiraan telah bertukar menjadi satu kesilapan peribadi mendalam, malah berlaku di pentas yang sangat terbuka,” katanya.

Byron juga secara terbuka memohon maaf kepada isterinya, ahli keluarga dan seluruh warga kerja Astronomer.

Beliau menegaskan, semua pihak yang terlibat berhak menerima layanan lebih baik daripada dirinya sebagai individu dan pemimpin.

“Anda semua layak menerima lebih baik daripada saya sebagai pasangan, bapa dan pemimpin,” ujarnya menambah beliau kini mengambil masa untuk bermuhasabah dan menentukan langkah seterusnya, baik dari segi peribadi mahupun profesional.

Selain permohonan maaf, Byron turut menzahirkan kebimbangan terhadap pelanggaran privasi apabila momen peribadi menjadi bahan tontonan awam tanpa persetujuannya.

Megan Kerrigan (kanan) telah menyahaktifkan semua akaun media sosialnya susulan skandal tersebut. — Agensi

“Saya harap kita semua dapat berfikir dengan lebih mendalam tentang impak menjadikan kehidupan seseorang sebagai tontonan,” tegasnya.

Kenyataan itu ditutup dengan bait lirik lagu Fix You nyanyian Coldplay, yang mencerminkan keinsafan dan keinginan Byron untuk menebus kesilapan.

“Lights will guide you home and ignite your bones and I will try to fix you,” ujar lirik lagu berkenaan.

Meskipun kenyataan itu tidak dimuat naik melalui saluran korporat Astronomer, ia telah dikongsi secara meluas oleh pengguna media sosial, termasuk di platform X (Twitter), Instagram dan LinkedIn.

Tangkap layar nota tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, termasuk perbincangan mengenai kesan insiden itu terhadap reputasi dan kedudukannya sebagai pemimpin korporat.

Sebelum ini, Byron menjadi perhatian ramai selepas terpalit dalam satu kontroversi susulan penularan video 'kiss cam' yang dirakam semasa konsert Coldplay di Foxborough, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Susulan insiden itu, isteri Byron, iaitu Megan Kerrigan Byron dilaporkan memadam kesemua foto bahagia bersama suami dan anak-anak yang dimuat naik di laman Facebook miliknya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram