
SEORANG wanita sarat hamil enam bulan tampil meluahkan perasaan di laman Facebook selepas mendapati suaminya berlaku curang.
Luahan yang tular itu menarik perhatian ramai apabila wanita mendedahkan bahawa suaminya telah melanggan khidmat seks ketika dirinya sedang mengandung anak kedua.
“Saya betul-betul perlukan pandangan semua. Saya dan suami sudah tujuh tahun berkahwin. Sekarang saya mengandung enam bulan dan baru tahu suami saya 'makan luar'.
"Dulu kalau kami bergaduh, dia cuma contact call girl untuk tanya harga. Tapi kali ni, dia betul-betul buat," katanya.
BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda
Fatimah (gambar kecil) menegaskan tindakan suami melanggan wanita lain merupakan satu bentuk kecurangan berat.
Lebih menyayat hati, suaminya memberi alasan bahawa tidak mempunyai nafsu terhadap wanita mengandung.
Katanya, sebelum ini iaitu ketika mengandung anak pertama, dia juga tidak disentuh selepas perutnya mulai membesar.
"Saya bukan suri rumah. Saya ada kerjaya sendiri. Nafkah pun dia beri cukup, tiada kurang. Tapi saya buntu... Patutkah saya bertahan demi anak-anak, mengamuk sekarang atau tunggu selepas bersalin untuk minta cerai?" soalnya.
Mengulas perkara itu, peguam syarie, Fatimah Majemi menegaskan bahawa tindakan suami melanggan wanita lain adalah satu bentuk kecurangan berat dan boleh memudaratkan isteri.
“Apabila isteri tahu suami melakukan hubungan seks dengan wanita lain, langkah pertama ialah kawal emosi.
"Jangan bertindak melulu. Kita bimbang jika isteri terus bertindak mengamuk dan suami pula panas baran, ia boleh membawa kepada situasi yang lebih buruk termasuk kemungkinan berlaku kekerasan atau lafaz cerai di luar mahkamah," katanya.
Fatimah berkata, langkah paling penting selepas bertenang adalah dengan mengumpulkan segala bukti termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp, gambar, resit hotel, transaksi langganan atau apa-apa yang mengesahkan kecurangan tersebut.
"Bukti sangat penting jika isteri memutuskan untuk membawa kes ke mahkamah. Bukti kukuh akan membantu mahkamah membuat keputusan yang adil," tambahnya.
Fatimah berkata, selepas bukti dikumpul, isteri boleh membuat keputusan sama ada ingin mempertahankan perkahwinan atau menfailkan perceraian, fikirlah sehabis baik.
“Jika ingin selamatkan rumah tangga, ambillah langkah-langkah untuk memperbaiki hubungan dengan berbincang, mendapatkan kaunseling rumah tangga dan nasihat guaman.
"Namun, jangan menunggu terlalu lama jika suami terus melakukan kesalahan yang sama," nasihatnya.
Seorang wanita buntu selepas mendapat tahu suaminya melanggan khidmat seks ketika dirinya sedang mengandung anak kedua. — Gambar hiasan
Fatimah turut mengingatkan bahawa tindakan suami 'makan luar' bukan hanya menggugat keharmonian rumah tangga tetapi turut melibatkan risiko kesihatan seperti jangkitan penyakit kelamin.
Maka, keputusan yang diambil perlu meletakkan keselamatan dan maruah isteri sebagai keutamaan.
Bercerai ketika hamil: Apa inisiatif ikut undang-undang?
Menjawab persoalan sama ada wanita boleh memfailkan perceraian semasa hamil, Fatimah menjelaskan bahawa tiada halangan dari sudut undang-undang syariah untuk berbuat demikian.
“Seorang isteri boleh memfailkan kes penceraian semasa mengandung.
"Mahkamah akan menjalankan proses kes seperti biasa. Contohnya, isteri membuat tuntutan cerai di bawah seksyen 47, jika suami tidak bersetuju dengan tuntutan isteri mahkamah akan merujuk mereka kepada Jawatankuasa Pendamai dan jika tidak dapat didamaikan kes ini akan dirujuk kepada hakam," katanya.
Sekiranya suami enggan melafazkan cerai, hakam yang diberi kuasa oleh mahkamah boleh melafazkan cerai bagi pihak suami jika hakam berpendapat pihak itu patut bercerai.
Fatimah turut menjelaskan bahawa tindakan memfailkan perceraian tidak semestinya perlu menunggu sehingga selepas bersalin.
Menurutnya, kes perceraian boleh difailkan walaupun isteri sedang hamil.
Namun, berdasarkan amalan biasa, jika suami bersetuju dengan tuntutan perceraian, mahkamah lazimnya tidak membenarkan lafaz cerai dilakukan ketika isteri sedang mengandung.
Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir tetap bergantung kepada pertimbangan mahkamah.
Ujarnya lagi, talak yang dilafazkan ketika isteri mengandung adalah sah, tetapi tempoh idahnya berlanjutan sehingga bayi dilahirkan atau kandungan gugur.
“Memberi peluang kepada suami itu tidak salah tetapi biarlah berpada. Jangan menunggu dalam penantian yang sia-sia.
"Wanita perlu sedar hak mereka dan berani membuat keputusan untuk masa depan diri dan anak-anak," ujar Fatimah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram