Dulu minat Beckham kerana kacak, semakin dewasa lebih arif, Shafiqah tepis stereotaip wanita tak tahu tentang bola sepak


  • Maya
  • Khamis, 29 Mei 2025

Bagi Shafiqah, minat terhadap bola sepak bukan soal jantina, tetapi soal keterikatan emosi, pengalaman dan hubungan sosial yang terjalin melaluinya.

WALAUPUN bola sepak sering dilabel sebagai sukan dominasi lelaki, semakin ramai wanita masa kini tampil mematahkan tanggapan tersebut.

Tidak sekadar hadir sebagai penonton, mereka juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap strategi permainan, sejarah kelab, bahkan isu-isu semasa dalam dunia bola.

Namun, perjalanan untuk diiktiraf sebagai ‘peminat sebenar’ bukanlah mudah kerana ada yang terus diasak dengan stereotaip bahawa minat mereka hanya berpaksikan rupa paras pemain atau sekadar mahu menonjol di media sosial.

BACA LAGI: Sanggup gerak pukul 4 pagi dari Pulau Pinang ke Bukit Jalil tengok 'game' MU, kejutan hari jadi anak pengikat kasih keluarga

BACA LAGI: Tularkan kandungan mesej pasangan curang, jelik boleh dikenakan tindakan — Peguam syarie, peguam bela

Bagi Shafiqah Mohd Azmi, 25, semua itu hanyalah cakap-cakap kosong yang boleh dibalas dengan satu perkara sahaja iaitu kefahaman dan semangat.

"Masa kecil, ya, saya minat sebab David Beckham kacak. Tapi bila dah besar, saya nampak macam mana ayah dan pak cik saya akan berkumpul dan sembang pasal bola.

"Saya tertarik macam mana satu topik ini (sukan) boleh buat semua orang rapat dan sembang berjam-jam,” katanya kepada Majoriti.

Minat bola sejak sekolah rendah

Shafiqah mula betul-betul mengikuti bola sepak semasa zaman sekolah rendah, sekitar 2007 atau 2008.

Walaupun tidak mengikuti setiap perlawanan secara konsisten, dia akui Piala Dunia adalah waktu kemuncak minatnya terhadap sukan tersebut.

"Saya akan ikut betul-betul bila musim Piala Dunia. Masa itu memang rasa dia lain,” jelasnya.

Berdepan stereotaip, termasuk tunang sendiri

Sebagai peminat wanita, Shafiqah tidak terlepas daripada dilabel 'tak tahu apa-apa'.

Malah, tunangnya sendiri pernah meragui kefahaman asasnya terhadap permainan bola sepak.

"Tunang saya rasa saya tak faham ofsaid semua itu. Tapi saya faham sahaja. Bila saya komen pasal perlawanan dia sendiri terkejut. Baru tahu saya tahu lebih daripada yang dia sangka."

Bagi Shafiqah, cara terbaik untuk melawan persepsi negatif ialah membuktikan bahawa wanita juga mampu memahami dan menikmati bola sepak bukan kerana trend, tetapi kerana minat sebenar.

Wanita perlu lebih diiktiraf dalam dunia bola sepak

Apabila menyentuh soal keterlibatan wanita dalam dunia bola, Shafiqah percaya ia semakin berkembang, tetapi masih kurang popular dan diangkat ke arus perdana.

"Kita ada Piala Dunia untuk perempuan tapi tak popular. Mungkin sebab peminat wanita sendiri pun tak seghairah macam lelaki. Kadang kita duduk tengok sahaja dan senyap,” katanya berseloroh.

Namun begitu, dia turut mengakui bahawa ramai wanita sebenarnya berada di belakang tabir, menyokong dari sudut pengurusan, media, keluarga atlet dan sebagainya.

"Ramai sahaja perempuan yang jadi tulang belakang atlet kita. Cuma kita tak nampak.”

Shafiqah (kiri) bersama tunang, Imran Haniffa meminati pasukan yang sama.

Minat tak kenal jantina

Bagi Shafiqah dan ramai wanita lain, minat terhadap bola sepak bukan soal jantina, tetapi soal keterikatan emosi, pengalaman dan hubungan sosial yang terjalin melaluinya.

Dalam dunia yang semakin terbuka hari ini, wanita tidak lagi hanya berada di kerusi penonton.

Mereka mampu menjadi pemain, pengulas, pengurus dan yang paling penting, peminat yang tahu apa yang mereka sokong.

"Minat ini bukan soal trend. Bila kita suka sesuatu, kita faham dan kita hargai. Itu yang patut orang nampak,” katanya menutup perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram