Tularkan kandungan mesej pasangan curang, jelik boleh dikenakan tindakan — Peguam syarie, peguam bela


  • Cinta
  • Selasa, 27 Mei 2025

Zabetha menyarankan agar individu yang mengalami masalah rumah tangga seperti kecurangan supaya merujuk saluran rasmi.

DALAM isu kecurangan membabitkan seorang guru dan suami orang yang kini tular di media sosial, seorang peguam tampil mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membawa kesan undang-undang lebih berat.

Peguam syarie dan peguam bela, Nor Zabetha berkata, walaupun perbuatan curang itu salah, tindakan mendedahkan mesej peribadi yang berunsur lucah dan memuat naik video konfrontasi ke laman sosial adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang.

"Walaupun cikgu itu salah. Suami dia pun salah. Tetapi undang-undang tidak membenarkan kita menjatuhkan hukuman sendiri," katanya dalam satu kenyataan yang turut dikongsikan di media sosial miliknya.

BACA LAGI: Mothfood tumpuan penata gaya, peminat fesyen vintaj di tengah kota New York, jaket pudar, denim lusuh jadi 'buruan'

BACA LAGI: Tragedi menyayat hati, pakar pediatrik wanita di Gaza hilang 9 anak serentak dalam serangan udara Israel

Menurut beliau, ramai isteri yang pernah dirujuk kepadanya selepas dicurangi akan menyatakan hasrat untuk memberi peluang kedua dan mempertahankan rumah tangga.

Namun, dalam kes tular itu, pasangan yang berdepan isu curang bertindak menularkan kandungan mesej antara suami dan wanita ketiga sehingga menampakkan butiran yang sangat peribadi kepada umum.

Langgar undang-undang sedia ada

Nor Zabetha menjelaskan, tindakan menularkan kandungan berunsur jelik atau lucah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman terhadap mereka yang menyalah guna kemudahan rangkaian untuk menyakitkan hati atau menganiaya orang lain.

Selain itu, mangsa penyebaran kandungan itu juga boleh mengambil tindakan sivil atas alasan fitnah dan menjatuhkan reputasi, tambah beliau.

"Kita tidak boleh balas satu kesalahan dengan kesalahan lain. Undang-undang ada salurannya, dan ia perlu dipatuhi walaupun emosi menguasai," katanya lagi.

'Court of public opinion' tidak boleh jadi hakim

Mengulas fenomena ‘mahkamah awam’ yang berlaku di media sosial, Nor Zabetha berkata, masyarakat kini cenderung menjatuhkan hukuman sendiri menerusi kecaman dan penyebaran aib tanpa menyedari implikasinya.

Lebih mengejutkan, katanya, fokus utama dilihat hanya tertumpu kepada wanita ketiga dalam kes berkenaan, manakala si suami yang turut bersalah kurang diberi perhatian.

"Adakah wajar wanita ini dihukum secara terbuka? Adakah aib rumah tangga patut ditelanjangkan untuk tatapan umum?"

Beliau turut menyeru agar masyarakat lebih beretika dan menghormati ruang peribadi orang lain, terutama apabila melibatkan isu keluarga.

Saran rujuk saluran betul

Nor Zabetha menyarankan agar individu yang mengalami masalah rumah tangga seperti kecurangan supaya merujuk saluran rasmi seperti pejabat agama, kaunselor berdaftar atau mendapatkan nasihat guaman.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk berkongsi pandangan mengenai isu penyebaran aib ini dan bagaimana masyarakat sepatutnya bertindak balas terhadap kes curang yang melibatkan maruah keluarga.

"Pandangan anda boleh menjadi suara masyarakat yang rasional dan beradab. Mari kita tentukan sama ada kita mahu keadilan atau hanya ingin melihat seseorang dihukum di khalayak."

Kes ini sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai sempadan antara hak bersuara, keadilan dan etika dalam era digital, terutama apabila melibatkan isu sensitif dalam institusi kekeluargaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram