Tidak bekerja setiap Jumaat selama lebih 3 bulan, aplikasi berus gigi bongkar hubungan sulit suami


  • Maya
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Si isteri mula menyedari beberapa catatan pelik dalam rekod aplikasi berus gigi tersebut.  — Gambar hiasan/Freepik

DALAM dunia hari ini, kecurangan selalunya terbongkar melalui mesej, panggilan telefon atau komunikasi yang mencurigakan.

Namun, seorang wanita di United Kingdom (UK) berjaya membongkar penipuan suaminya melalui sesuatu yang jauh lebih ringkas iaitu berus gigi elektrik.

Ya, benar. Bukan aplikasi WhatsApp atau baju yang mempunyai kesan gincu menjadi bukti, sebaliknya aplikasi berus gigi yang diselaraskan dengan telefonnya yang mendedahkan segalanya.

BACA LAGI: Wanita pertama ketuai koleksi gaya feminin Dior, Maria Grazia Chiuri umum letak jawatan, ini perubahan yang pernah dibawanya

BACA LAGI: Penulis novel Hunchback wanita OKU, raih gelaran 'Akutagawa' dari anugerah sastera tertua dunia

Penyiasat persendirian, Paul Jones yang berkongsi kisah tersebut kepada agensi menyifatkannya sebagai antara kes kecurangan paling rare sepanjang kerjayanya.

Petunjuk yang tidak disangka

Wanita berkenaan menyambungkan aplikasi berus gigi pintar kepada telefonnya dengan tujuan memantau rutin kebersihan gigi anak-anaknya.

Namun begitu, beliau mula menyedari beberapa catatan yang pelik dalam rekod aplikasi tersebut.

Aktiviti yang direkodkan bukan datang daripada anak-anak, sebaliknya daripada suaminya.

Rekod menunjukkan suaminya memberus gigi di rumah ketika waktu persekolahan dan pada hari-hari bekerja, khususnya pada setiap hari Jumaat.

Pada awalnya, perkara ini kelihatan remeh. Namun, apabila corak tersebut berulang setiap minggu pada waktu yang hampir sama iaitu lewat pagi hari Jumaat, wanita tersebut mula berasa curiga.

Data yang dikumpul melalui aplikasi itu amat tepat dan mempunyai penandaan masa yang jelas, menunjukkan seseorang berada di rumah sedang memberus gigi yang mana sepatutnya berada di tempat kerja.

Toothbrush isolated on white background

Berus gigi elektrik yang digunakan mencatat setiap pergerakan dan akhirnya menjadi bukti utama yang membongkar kecurangan lelaki terlibat. — Gambar hiasan/Freepik

Kebenaran terbongkar

Akibat rasa ingin tahu dan kecurigaan yang semakin memuncak, wanita itu membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat Paul Jones bagi menjalankan siasatan lanjut.

Hasil siasatan mengesahkan segala keresahannya. Suaminya sebenarnya tidak bekerja pada Jumaat selama lebih tiga bulan.

Sebaliknya, beliau menggunakan kesempatan tersebut untuk membawa masuk wanita lain yang juga merupakan rakan sekerja ke rumah keluarga ketika ahli keluarga lain tiada di rumah.

Sepanjang tempoh itu, suaminya percaya bahawa alibinya kukuh dan tidak akan dipersoalkan.

Namun tanpa disedari, berus gigi elektrik yang digunakan mencatat setiap pergerakan dan akhirnya menjadi bukti utama yang membongkar kecurangannya.

Data tidak pernah menipu

Menurut Paul, ramai tidak menyedari bahawa petunjuk-petunjuk digital yang kelihatan remeh sebenarnya boleh menjadi bukti penting.

Beliau menjelaskan bahawa data digital selalunya dicatat mengikut masa dan lokasi tanpa dipengaruhi emosi.

Sebagai contoh, jika sesuatu peranti menunjukkan seseorang sedang memberus gigi pada pukul 10.48 pagi pada hari bekerja, adalah amat sukar untuk memberikan alasan lain bagi menafikannya.

Paul menasihatkan agar individu yang mempunyai syak wasangka terhadap pasangan mereka supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada mesej atau rekod panggilan telefon.

Sebaliknya, mereka disarankan untuk meneliti peranti pintar lain seperti pembantu suara digital, aplikasi kad kesetiaan pasar raya atau peralatan rumah yang menyimpan data secara automatik.

Peranti harian sebagai penyiasat baharu

Paul bukan satu-satunya penyiasat yang memberi amaran tentang kewujudan jejak digital yang tersembunyi.

Seorang lagi penyiasat, Aaron Bond menyatakan bahawa aplikasi kad kesetiaan seperti Tesco Clubcard juga boleh menjadi alat bukti yang tidak disangka.

Aplikasi ini merekodkan tarikh dan lokasi setiap pembelian. Maka, jika seseorang mendakwa mereka bekerja lewat tetapi aplikasi menunjukkan mereka membuat pembelian di lokasi lain, itu adalah petanda yang mencurigakan.

Menurut Aarond, sekiranya seseorang berkata mereka berada di pejabat tetapi rekod aplikasi menunjukkan sebaliknya, ia adalah satu amaran yang perlu diberi perhatian.

Kini, daripada berus gigi elektrik kepada aplikasi membeli-belah, peranti harian yang kita gunakan menjadi alat pembongkar kebenaran secara tidak langsung.

Walaupun penipuan boleh dirancang dan alasan boleh direka, data kekal tepat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram