Air mata Bella Astillah iringi keputusan mahkamah, Syed Saddiq kini bebas daripada tuduhan pecah amanah


  • Hiburan
  • Rabu, 25 Jun 2025

Bella Astillah hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Rabu.

PELAKON dan penyanyi Bella Astillah dilihat menitiskan air mata sebaik Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Rabu membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan jenayah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Bella, yang tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 7.50 pagi bersama dua pembantu mengenakan baju kurung biru muda dan dilihat tenang mengikuti prosiding. 

BACA LAGI: Dakwaan jangkitan herpes berpunca dari seks oral sahaja tidak tepat, masyarakat perlu cakna cara sebenar virus tersebar

BACA LAGI: Bukan hanya kerana nafsu, pakar dedah 5 sebab pasangan berlaku curang walau masih sayang

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman yang dikenakan sebelum ini.

Dalam penghakiman yang dibacakan selama lebih sejam, Datuk Noorin menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah terhadap Syed Saddiq mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Suasana di mahkamah bertukar hiba sejurus keputusan dibacakan.

Bella kelihatan mengesat air mata, manakala penyokong Syed Saddiq turut menyambut keputusan itu dengan tangisan lega dan pelukan.

Menjengah ke ruangan media sosial, nama Syed Saddiq dan Bella kini menjadi tumpuan, dengan ramai warga maya meluahkan rasa syukur dan menyuarakan sokongan.

"Boleh makan nasi minyak," seloroh Wahi Rasib.

"Dengan aku, aku sekali nangis wei. Alhamdulillah, semoga berjodohan kamu berdua,” tulis Ain.

"Alhamdulillah, tahniah… dah boleh kahwin,” kata Siti Maryam Ramli.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Namun, keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu secara rasmi membebaskan beliau daripada semua pertuduhan, sekali gus menamatkan kemelut undang-undang yang menjadi perhatian ramai sejak sekian lama.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram