Pengantin tahan sebak, lafaz ijab kabul sebelah keranda bapa, meninggal dunia beberapa jam sebelum majlis


  • Cinta
  • Rabu, 25 Jun 2025

Bapa pengantin lelaki, Raspani meninggal dunia beberapa jam sebelum majlis berlangsung.

MAJLIS akad nikah pasangan, Muhammad Rifqi Husin dan Vivi Dwi Aprilia Ahmad bertukar pilu apabila bapa pengantin lelaki, Raspani meninggal dunia beberapa jam sebelum majlis berlangsung.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.00 pagi di Hospital Al Mansyur akibat komplikasi penyakit jantung dan kencing manis.

Difahamkan, Allahyarham sebelum itu menginap di sebuah hotel berhampiran lokasi majlis bersama keluarga. 

BACA LAGI: Bukan hanya kerana nafsu, pakar dedah 5 sebab pasangan berlaku curang walau masih sayang

BACA LAGI: Ramai tak tahu, cara 'scroll', pegang telefon pintar dedah sisi tersembunyi personaliti anda

Walaupun sedang menerima rawatan dan dinasihatkan berehat, beliau tetap berkeras mahu hadir ke majlis pernikahan anaknya.

“Beliau menghidap sakit jantung dan diabetes. Sebelum ini dirawat di hospital, tetapi masih berhasrat untuk menyaksikan sendiri akad nikah anaknya,” kata Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Lambung Mangkurat (ULM), Prof Dr Ahmad Derajat.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa terus ke lokasi majlis dan ditempatkan berhampiran meja akad nikah sebagai penghormatan terakhir. 

Suasana bertambah sayu apabila pasangan pengantin melafazkan ijab kabul dalam keadaan dikelilingi ahli keluarga yang masih terkesan dengan berita kematian tersebut.

Momen menyayat hati itu turut dikongsikan jurusolek kepada ibu pengantin lelaki, Yasir Samani, yang ketika itu sedang menyiapkan solekan terakhir sebelum majlis bermula.

“Saya sedang menyiapkan solekan ibu pengantin lelaki. Solekan baru siap kira-kira 90 peratus, tetapi beliau tiba-tiba sebak dan terus menangis selepas menerima berita pemergian suaminya,” katanya.

Menurut Yasir, beliau segera menghantar ibu pengantin ke hospital walaupun persiapan solekan belum selesai.

Majlis akad nikah pasangan berkenaan diteruskan pada hari yang sama dalam suasana penuh hiba.

Pasangan pengantin turut meninggalkan lokasi majlis sebelum resepsi tamat untuk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian.

Majlis pernikahan itu turut dihadiri Canselor ULM, Prof Ahmad Alim Bachri yang juga bapa kepada pengantin perempuan. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram