'Bukan dia patut pakai burqa?' Diskriminasi jantina tak halang Kapten Taiyba gapai impian sebagai juruterbang komersial 


  • Sukses
  • Ahad, 13 Jul 2025

Taiyba (dua dari kiri) mengangkat dirinya bukan sahaja sebagai juruterbang, malah simbol kekuatan dan kebangkitan wanita Islam dalam dunia moden. — Instagram/taibaafroz_

SEORANG gadis beragama Islam dari daerah Saran, Bihar, India mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh lesen sebagai juruterbang komersial.

Kejayaan itu adalah sesuatu yang jarang dicapai dalam komuniti dan kawasan asalnya. 

Taiyba Afroz, anak kepada pengusaha kedai runcit dan suri rumah sepenuh masa, kini menjadi simbol harapan dan inspirasi kepada jutaan gadis muda yang berani bermimpi besar.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: [VIDEO] 'Udara lebih bersih, duriannya paling enak', warga Indonesia kongsi beberapa faktor 'betah' menetap di Malaysia

Taiyba yang berasal dari keluarga sederhana, tidak pernah membiarkan kekangan ekonomi dan sosial menghalangnya mengejar cita-cita. 

Perjalanan luar biasanya bermula pada 2019 apabila beliau diterima masuk ke Institut Latihan Penerbangan Kerajaan di Bhubaneswar. 

Di situ, beliau menempuh latihan sukar selama bertahun-tahun, termasuk 200 jam penerbangan dalam keadaan cuaca mencabar, latihan simulasi dan perlu lulus peperiksaan teori dengan markah tinggi iaitu melebihi 70 peratus dalam kertas-kertas ujian yang dikawal selia oleh Pengarah Jeneral Penerbangan Awam India (DGCA).

“Terbang solo selama 100 jam memang menakutkan tetapi saya tidak pernah membiarkan ketakutan menguasai fikiran,” ujar Taiyba yang kini menjadi juruterbang bertauliah.

Pada 2023, beliau meneruskan latihan lanjutan di Kelab Penerbangan Indore, mencatatkan tambahan 120 jam penerbangan. 

Hasil ketekunan dan keberanian itu, Taiyba akhirnya memperoleh lesen rasmi daripada DGCA, sekali gus melayakkannya untuk mengendalikan mana-mana pesawat komersial.

Taiyba (kiri) menjadi sumber inspirasi dan suri teladan kepada ramai gadis yang selama ini diajar untuk 'merendahkan impian'. — Instagram/taibaafroz_ 

Diskriminasi

Namun dalam perjalanan itu, Taiyba bukan sekadar berdepan cabaran dari segi teknikal, tetapi juga ujian sosial. 

Sebagai wanita beragama Islam dalam seragam juruterbang, beliau pernah dicemuh secara terbuka.

“Bukankah dia sepatutnya memakai burqa (pakaian yang dikenakan sebagian wanita Islam untuk menutupi seluruh tubuh, termasuk wajah)?”.

Itu antara soalan berbaur diskriminasi yang pernah dilemparkan kepadanya secara terbuka.

Wanita tersebut bagaimanapun tidak mudah goyah. Dengan ketenangan dan keyakinan tinggi, beliau memberikan jawapan yang ringkas tetapi padat.

“Kokpit tiada kod pakaian. Pesawat tidak peduli apa nama belakang anda,” tegasnya.

Walaupun gaji permulaan juruterbang adalah sekitar ₹1.5 lakh (lebih RM7,000) sebulan, itu bukanlah ‘trofi’ yang dikejar Taiyba. 

Pencapaian sebenarnya adalah sebagai seorang gadis beragama Islam dari kawasan mundur di Bihar, yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, namun berjaya mengatasi segala halangan dan muncul dengan kejayaan.

"Lihatlah gadis Islam ini, beliau mampu menerbangkan pesawat," ungkapnya penuh keyakinan.

Taiyba mengangkat dirinya bukan sahaja sebagai juruterbang, malah simbol kekuatan dan kebangkitan wanita Islam dalam dunia moden. 

Beliau menjadi sumber inspirasi dan suri teladan kepada ramai gadis yang selama ini diajar untuk 'merendahkan impian'. 

Kejayaannya membuktikan bahawa dengan tekad dan usaha, tiada batasan untuk apa yang boleh dicapai walau siapa pun anda dan dari mana anda berasal.

"Langit bukanlah hadnya, ia adalah permulaan.” kata Taiyba. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram