Ratatouille jadi inspirasi, anak jati Melaka gapai impian kendali restoran sendiri di KL


  • Bisnes
  • Ahad, 13 Jul 2025

Merrick suka menjadi mentor kepada golongan muda dengan berkongsi pelbagai pengajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan menguruskan restoran.

MEMBESAR di Melaka yang terkenal dengan kekayaan warisan gastronomi, Merrick Chiam menyimpan hasrat untuk menjadi sebahagian daripada dunia kulinari sejak dari kecil.

Pada usia yang masih muda, Merrick tertarik dengan rasa yang mencorakkan negeri asalnya — daripada kemanisan gula Melaka hinggalah keenakan asam pedas.

Bertitik tolak dari situ, dia memasang cita-cita untuk membuka kedai makan sendiri suatu hari nanti.

BACA LAGI: Realiti wanita moden, cabaran ibu bekerjaya jadi ilham pengarang hasilkan karya ke-18

BACA LAGI: Selepas berguru dengan bapa, Master Kay atur langkah bina empayar rawatan alternatif sendiri

Kini, ketika usianya 25 tahun, impian tersebut menjadi kenyataan apabila dia menjadi pengasas bersama Brew by Cobnb, yang kini mengendalikan dua buah restoran di Kuala Lumpur.

Namun, Merrick mengakui perjalanannya ke dunia perniagaan di ibu kota tidaklah semudah yang disangka, sebaliknya turut diuji dengan cabaran.

Bekas pelajar St Francis Institution di Bandar Hilir itu berkata, minatnya terhadap dunia kulinari bermula dari rumah dan dipupuk melalui pengalaman ringkas ketika menjalani kehidupan seharian.

 

“Bagi saya, makanan sentiasa dikaitkan dengan sebuah hubungan. Ia tentang menyatukan orang melalui rasa dan tradisi,” katanya.

Kongsi Merrick, dia mendapat ilham daripada filem animasi Ratatouille yang mengisahkan tentang Remy, seekor tikus yang memasang impian untuk menjadi tukang masak terkenal namun, cita-cita itu dianggap mustahil.

“Jika dihayati, ia bukan tentang tikus yang memasak tetapi mengenai konsistensi, kerja keras dan kepercayaan terhadap kemahiran serta bakat yang dimiliki,” jelasnya.

Walaupun dia kini menguruskan perniagaan bersama sebuah pasukan kecil, Merrick berkata, peralihan daripada seorang yang bercita-cita menjadi tukang masak kepada usahawan menuntut ketekunan serta kebolehsuaian.

“Menguruskan operasi kedai makan bukan sekadar menyajikan makanan yang sedap. Ia juga tentang memahami pelanggan, menguruskan kakitangan dan sentiasa menambah baik apa yang ditawarkan,” katanya.

Di luar operasi harian, Merrick juga mempunyai minat mendalam untuk berkhidmat kembali kepada komuniti.

Dia menjadi mentor kepada golongan muda terutamanya dari Melaka dan yang berminat menceburi industri makanan dan minuman, dengan berkongsi pelbagai pengajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan.

“Saya tahu bagaimana rasanya untuk bermula tanpa kemampuan kewangan yang diidamkan, tetapi dengan semangat terhadap dunia kulinari.

"Jika saya boleh bantu orang lain untuk tidak buat kesilapan sama yang pernah dilakukan, ia sesuatu yang membanggakan buat saya,” ujarnya.

Tambah Merrick, bagi dirinya, kedai makan adalah lebih daripada sekadar perniagaan.

“Ia mencerminkan pencapaian kepada impian zaman kanak-kanak, yang dibentuk oleh tradisi kulinari Melaka,” katanya. — The Star / M.ESSHWER

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram