Anak kelahiran Kota Kinabalu bakal dilantik Menteri Luar Australia


  • Benua
  • Ahad, 22 Mei 2022

WONG merupakan wanita pertama yang memegang jawatan Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang pada tahun 2013.

LIMA anggota kaukus Parti Buruh akan menjadi barisan menteri pertama mengangkat sumpah pada Isnin selepas Pilihan Raya Australia.

Salah seorang daripadanya merupakan wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Penny Wong yang dijangka dilantik sebagai Menteri Luar Australia.

Penny, yang berkelulusan undang-undang, dilahirkan di Kota Kinabalu tetapi berpindah ke Australia pada 1976 ketika berusia lapan tahun.

Beliau pertama kali dilantik sebagai anggota Senat mewakili Parti Buruh pada 2001 dan pernah dua kali dilantik semula pada 2007 serta 2013.

Di bawah kerajaan Kevin Ruud pada 2007, Penny dilantik menteri Perubahan Iklim dan Air dan selepas pilihan raya umum 2010, dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Pada 2013 Penny dilantik sebagai Ketua Kerajaan di Senat dan selepas pertukaran kerajaan pada tahun yang sama, beliau dilantik Ketua Pembangkang di Senat iaitu wanita pertama bagi memegang kedua-dua jawatan itu.

Susulan pilihan raya umum 2016 pula, Penny dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di Senat dan sebagai Menteri Luar dalam Kabinet bayangan parti Buruh.

Beliau dijangka menyertai Perdana Menteri baharu Australia, Anthony Albanese, yang akan akan bersama Amerika Syarikat (AS), Jepun dan India pada sidang kemuncak Quad selama dua hari, dalam tugas rasmi pertama selepas memenangi pilihan raya kebangsaan.

Albanese berkata, anggota daripada pasukan kerajaannya akan mengangkat sumpah, esok, sekali gus membolehkan beliau menghadiri sidang kemuncak di Tokyo pada keesokan harinya bersama Penny. — Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram