'Kini cuba belajar bahasa Jepun', Marina kongsi sisi peribadi Dr Hasmah sempena ulang tahun ke-99


  • Bonda
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Sifat lembut dan keibuan Dr. Hasmah tidak menghalangnya daripada menyuarakan pendapat. — Facebook/Marina Mahathir

SEMPENA ulang tahun ke-99 ibunya, anak sulung kepada Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali, iaitu Datin Paduka Marina Mahathir meluahkan penghargaan penuh emosi terhadap wanita yang disifatkannya sebagai lambang sebenar pengabdian dan kekuatan seorang wanita.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu, Marina berkongsi sisi peribadi Dr. Hasmah yang mungkin jarang diketahui ramai.

Menurut Marina, ibunya merupakan seorang isteri setia, ibu yang tegas namun penyayang dan wanita berprinsip yang terus menyokong hak wanita walau dalam usia hampir seabad.

BACA LAGI: Berbaju kurung biru, dipadan tudung bawal 2 tona, penampilan Dr. Hasmah di majlis Perkim raih pujian ramai

BACA LAGI: Semoga ALLAH terus rahmati Tun', PM Anwar titip doa sempena ulang tahun kelahiran ke-100 Tun Mahathir

“Apa yang boleh saya katakan tentang seorang wanita yang hampir menyamai erti sebenar pengabdian.

“Beliau sentiasa berada di sisi ayah dalam susah dan senang, tanpa pernah mengorbankan dirinya sendiri.

"Beliau bekerja sepanjang hayatnya sehingga bersara, sambil menguruskan keluarga yang semakin membesar dan menjadi isteri kepada perdana menteri," katanya.

Marina menambah, ketika Dr. Mahathir kembali ke tampuk pemerintahan, beliau memilih untuk kekal di rumah sendiri dan tidak berpindah ke kediaman rasmi.

Sebagai ibu, kata Marina, Dr. Hasmah tegas dalam mendidik anak-anak terutama dalam hal pendidikan, namun tidak pernah menghalang kebebasan mereka memilih pasangan dan jalan hidup.

"Beliau malah membiarkan kami melakukan kesilapan sendiri.

"Namun beliau sentiasa ada untuk kami luahkan rasa hati dan meminta nasihat," kongsinya.

Walaupun sudah mencecah usia 99 tahun dan lebih rapuh secara fizikal, Dr. Hasmah tetap aktif dan bersemangat.

Ujar Marina lagi, ibunya masih bermain piano dan biola hampir setiap hari, malah kini mencuba untuk mempelajari bahasa Jepun.

"Itu di samping bahasa Perancis yang beliau pelajari ketika berusia 70-an, supaya boleh berbual dengan besannya ketika itu yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Ibu adalah contoh nyata pembelajaran sepanjang hayat," katanya.

Dr. Hasmah (dua dari kanan) bekerja sepanjang hayatnya sehingga bersara, sambil menguruskan keluarga yang semakin membesar. — Facebook/Marina Mahathir

Sifat lembut dan keibuan Dr. Hasmah tidak menghalangnya daripada menyuarakan pendapat, terutama dalam hal melibatkan prinsip dan keadilan.

Dibesarkan oleh bapa yang berfikiran terbuka dan berkahwin dengan lelaki yang menyokong wanita, beliau tetap lantang dalam memperjuangkan hak wanita.

Antara momen paling membanggakan Marina ialah ketika ibunya berdiri di atas trak semasa perarakan Wanita Menentang Politik Toksik pada 2017 dan bersuara lantang menentang budaya politik yang merosakkan.

Akui beliau lagi, sebagai anak perempuan, hubungan dengan ibu tidak pernah lari daripada ketegangan.

"Bukan mudah untuk hidup di bawah bayangan, bukan satu, tetapi dua ‘pokok’ yang besar.

"Namun apabila semakin dewasa dan membina keluarga sendiri, saya semakin memahami.

"Bukan mudah untuk mengimbangi segalanya tanpa kehilangan jati diri, apatah lagi apabila hidup sebagai figura awam.

"Jadi, sempena ulang tahun ke-99 beliau hari ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu atas segala kasih sayang dan sokongan selama ini, kerana sentiasa memahami dan memperjuangkan saya," tuturnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram