
DILABEL sebagai salah satu penyakit sinonim dengan warga emas, demensia juga berisiko tinggi dihadapi individu seawal usia 30-an.
Bukan sekadar proses penuaan semula jadi semata-mata, ia juga boleh merupakan masalah kesihatan serius yang boleh menjejaskan masa depan pesakit terutamanya mereka yang mempunyai sejarah penyakit kronik.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 55 juta orang di seluruh dunia kini hidup dengan demensia.
BACA LAGI: BCL sokong Noah minat muzik, syukur suami baharu diterima keluarga Ashraf Sinclair
Angka itu dijangka meningkat kepada 78 juta menjelang 2030 dan Malaysia juga tidak terkecuali, dengan kajian tempatan menganggarkan lebih 200,000 rakyat hidup dengan penyakit tersebut.
Malah, jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi disebabkan tahap kesedaran yang masih rendah di kalangan masyarakat hari ini.
Demensia dan penuaan
Pakar Neurologi daripada Pusat Perubatan Sunway Medical Centre, Dr. Mohamad Imran Idris menjelaskan demensia bukan sekadar penyakit lupa atau hilang ingatan.
"Ia melibatkan gangguan pada fungsi harian seperti memasak, mengurus kewangan, berbual, malah mengenali wajah ahli keluarga sendiri," katanya.
Tegasnya, simptom seperti keliru, tersalah letak barang atau hilang keupayaan menyusun kata boleh menjadi petunjuk awal kepada masalah demensia.
Dr. Mohamad Imran menjelaskan demensia bukan sekadar penyakit lupa ia turut melibatkan gangguan pada fungsi harian seperti memasak, mengurus kewangan atau mengenali wajah ahli keluarga sendiri.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa demensia vaskular, yang berpunca daripada masalah aliran darah otak juga kerap berlaku terutamanya bagi individu menghidap penyakit seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi.
"Usia memang faktor risiko yang tidak boleh dielakkan, tetapi gaya hidup dan penyakit vaskular adalah punca yang boleh dikawal.
"Pengurusan awal tekanan darah, paras gula dan kolesterol dapat membantu melambatkan atau mengurangkan risiko demensia," ujarnya.
Tidur, sosial dan rangsangan mental
Menurutnya lagi, gaya hidup sihat bukan hanya tentang pemakanan dan senaman, bahkan tidur berkualiti serta interaksi sosial juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan otak.
"Kita terlalu memuji budaya kerja lebih masa hingga tidur diabaikan, walhal kurang tidur juga sebenarnya boleh menjejaskan fungsi otak," katanya.
Beliau turut menyarankan agar otak sentiasa dirangsang melalui perbualan spontan, aktiviti sosial dan permainan mencabar seperti sudoku atau silang kata, berbanding skrin digital yang nyata tidak memberi manfaat untuk jangka masa panjang.
Dalam kebanyakan kes, tanggungjawab menjaga pesakit demensia jatuh kepada ahli keluarga, yang sering kali tidak dibekalkan pengetahuan atau sokongan mencukupi.
Dilabel sebagai salah satu penyakit sinonim dengan warga emas, demensia juga berisiko tinggi dihadapi individu seawal usia 30-an. — Gambar hiasan/Freepik
Rawatan canggih
"Dua tahun lalu, saya mungkin berkata tiada apa yang boleh dibuat, tapi kini kita sudah memasuki era baharu dengan ubat yang boleh merawat penyakit tersebut," katanya.
Alat saringan moden, termasuk ujian kognitif digital dan ujian darah kini semakin mudah diakses.
Berpesan kepada masyarakat agar sentiasa menjaga kesihatan sejak usia muda, tidur yang cukup, pemakanan sihat dan aktiviti sosial antara perkara perlu diamalkan selalu.
Bukan penyakit warga emas semata-mata, demensia adalah masalah kesihatan awam yang memerlukan perhatian, kesedaran dan tindakan awal sebelum terlewat untuk dirawat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram