Berkerusi roda bukan halangan OKU ibu anak lima berbisnes tanjak 


Nor Zaidah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam program Liga Usahawan OKU Malaysia atau Say Lead Pro.

BERSTATUS orang kelainan upaya (OKU) tidak menghalang ibu kepada lima cahaya mata mengembangkan perniagaan tanjak buatan tangan yang dimulakan sejak lima tahun lalu.

Nor Zaidah Ab Rahman dilahirkan sama seperti insan normal lain, namun kira-kira 13 tahun lalu, kehidupan wanita berusia 57 tahun itu diuji oleh ALLAH dengan ujian berat dalam hidupnya.

Siapa sangka, rutin hariannya mengambil anak pulang dari tadika satu hari bertukar tragedi apabila kereta yang dipandunya dirempuh sebuah treler.

Akibat daripada kemalangan yang berlaku pada 27 April 2010, kedua-dua belah kakinya patah dan doktor mengesahkan dia tidak lagi boleh berjalan secara normal seumur hidupnya.

Namun begitu, wanita berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu tidak menjadikan kekurangannya sebagai alasan untuk dia berputus asa dalam hidupnya.

Sebaliknya, dengan semangat yang dibekalkan daripada suami dan anak-anak tercinta, dia menjadikan kekurangannya itu sebagai satu motivasi untuk melakar nama dalam bidang perniagaan seni kraf tangan.

ifti 2

Tengku Amir Shah (tengah) bergambar bersama tiga usahawan yang dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Say Lead Pro 2023.

Berkongsi mengapa memilih tanjak sebagai produk utamanya, Nor Zaidah berkata, perhiasan kepala itu menjadi satu identiti yang membezakan antara anak Melayu dengan bangsa asing.

“Kalau Mat Saleh pakai topi, kita orang Melayu kena pakai tanjak. Saya mahu kembalikan seni budaya Melayu ini kembali semula kepada masyarakat Melayu kita,” katanya ketika ditemui ketika Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Malaysia atau Say Lead Pro pada Khamis.

Nor Zaidah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam program anjuran Selangor Youth Say (SAY) itu.

Untuk makluman, program yang turut dijayakan oleh Yayasan Hasanah itu dibangunkan oleh Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, ujar Nor Zaidah lagi, dia menyertai program tersebut setelah diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2022.

Pada awalnya, wanita tersebut mengakui agak sukar untuk dia menjalankan perniagaannya dalam keadaan hanya bergantung kepada kerusi roda.

ifti 3

Nor Zaidah berjaya membawa pulang trofi dan geran tambahan perniagaan bernilai RM2,000.

“Doktor pernah cakap saya tidak boleh berjalan untuk selama-lamanya. Tujuh tahun saya menggunakan kerusi roda.

“Namun Alhamdulillah setelah menjalani rawatan dan 13 kali pembedahan untuk masukkan besi dalam kaki, saya kini boleh berjalan tanpa kerusi roda, tapi saya tak boleh berdiri terlalu lama, nanti sakit,” luahnya.

Katanya, sejak menyertai Say Lead Pro, dia melihat terdapat lonjakan dari segi pemasaran dan keuntungan perniagaannya, selain berjaya mengekalkan konsistensi dan semangat juang yang tinggi.

“Apabila dah berjaya, kita kena beri semula kepada komuniti, sebab itu saya bagi peluang kepada dua pekerja OKU untuk membantu saya menjayakan bisnes ini.

“Sekarang saya juga mula mengajar jahitan tanjak dan kraftangan di Politeknik Port Dickson, Kolej Komuniti Kuala Pilah dan Kolej Komuniti Jempol,” katanya yang turut mengusahakan sebuah kedai makan di Kuala Pilah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram