Dari mahkamah ke mesin jahit, bekas pegawai syariah kini pengasas AsyiQmuslim, tawar pakaian riadah multifungsi


  • Bisnes
  • Rabu, 16 Jul 2025

Noridah membuka peluang kepada golongan wanita untuk sentiasa bergaya tetapi masih menerapkan gaya sopan ketika beriadah.

DARI mahkamah ke mesin jahit, perjalanan Noridah Mohamed Noor dalam bidang perniagaan pastinya tidak semudah disangka.

Menjalankan perniagaan itu mudah, tetapi mengekalkan konsistensinya mungkin tidak semua orang dapat lakukan.

Begitu juga dengan pengasas jenama pakaian riadah wanita Muslimah, AsyiQmuslim Exclusive Sdn Bhd.

BACA LAGI: 'Pedas melekat di tekak', Kuah Rojak Power produk PWB DUN Kota Kemuning warisan turun-temurun

BACA LAGI: [VIDEO] Bakat seni daun anak Kedah pikat hati orang Brunei, Singapura

Pelanggan diberi pilihan untuk menggabungkan warna, rekaan dan saiz mengikut cita rasa mereka.

Dahulunya seorang pegawai syariah di Mahkamah Sayriah, wanita berusia 45 tahun itu kini peneraju butik pakaian Muslimah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Bermula lebih sedekad, 2012 menjadi tahun pertama bagi Noridah dan suaminya menubuhkan empayar mereka.

Menguruskan perniagaan sambil bekerja sebagai pegawai syariah pada Isnin hingga Jumaat, ia satu proses yang melelahkan buatnya.

Disebabkan itu, Noridah terpaksa membuat keputusan berat untuk berhenti bekerja dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada operasi AsyiQmuslim pada 2020.

Namun, takdir Tuhan tiada siapa boleh jangka. Beberapa hari selepas persaraannya pada 28 Februari 2020, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Pakaian multifungsi menjadikan nilai dan kualiti pakaian AsyiQmuslim lebih premium.

"Waktu itu saya dan suami pun dah berhenti kerja untuk kami fokus bersama.

"Tetapi, bila dah jadi begitu, terduduk jugalah sebab buntu nak cari duit," katanya kepada Majoriti.

Meskipun keputusan itu pada mulanya terasa berat, namun ia ternyata menjadi pemangkin semangat buat Noridah untuk kembali bangkit.

Dengan menggunakan kemahiran menjahit dan stok kain antibakteria yang sedia ada, Noridah mula mendapat idea untuk menghasilkan produk pelitup muka jenamanya.

Siapa sangka, produk seringkas itu mendapat sambutan hangat malah, jualan AsyiQmuslim mencecah RM1 juta dalam tempoh tiga bulan di kala pandemik melanda.

"Kebetulan, jenis kain pakaian jenama saya ini antibakterial dan memang khas untuk bersukan.

"Jadi, saya manfaatkannya dan jahit sendiri. Sebelum itu, kami memang dah jual pakaian riadah Muslimah, tetapi tidak dapat sambutan sehangat pelitup muka.

"Perlahan-lahan saya nampak itu sebenarnya adalah peluang yang ALLAH nak beri pada kami," terangnya.

 

 

Fesyen Muslimah selesa, sopan dan bergaya

Melihat kejayaannya pada tahun itu, Noridah lebih yakin untuk mengeluarkan pelbagai jenis pakaian khusus buat wanita ketika melakukan aktiviti riadah.

Katanya, setiap pakaian dihasilkan menerapkan elemen wanita Muslimah yang moden tetapi mahu kekal aktif, bergaya dan sopan.

Antara keunikan yang ditawarkan adalah potongan 'effect slim' yang memberi ilusi badan kelihatan lebih ramping.

"Pelanggan juga boleh pilih set baju dan seluar kita dengan saiz berbeza mengikut keselesaan mereka.

"Mereka boleh 'mix and match' rekaan baju dan seluar ikut cita rasa fesyen sendiri," jelasnya.

Pakaian riadah yang sesuai digayakan wanita dewasa.

Bukan itu sahaja, kualiti kain yang digunakan adalah premium, tahan lasak, tidak berbulu, tidak mengecut walaupun selepas beberapa tahun dipakai.

"Saya reka baju ini sesuai dengan saiz badan wanita Malaysia.

"Ilham ini saya dapat lepas lihat diri sendiri. Saya sendiri susah nak cari baju riadah yang selesa dan cantik.

"Ada pelanggan datang ke kedai, pakai baju tiga tahun lepas dan masih dalam keadaan baik," katanya.

Daripada aktiviti riadah seperti joging, berenang, berbasikal, mendaki, berlari, memanah, menari, bermain bola, kasual sehingga menunaikan ibadah umrah atau haji.

Harga yang dijual juga berpatutan dengan kualiti iaitu bermula RM199 dan ke atas.

Kesemua pakaian di AsyiQmuslim dihasilkan dan dijahit dengan tenaga pekerja.

Cabaran dan peluang untuk suri rumah

Meskipun begitu, Noridah mengakui bahawa terdapat liku-liku yang perlu ditempuhinya demi mempertahankan perniagaannya sehingga kini.

"Waktu permulaan saya buka kedai di sini, pernah kerugian besar ribuan ringgit gara-gara ada pekerja tidak amanah dan bertanggungjawab.

"Kami juga terpaksa kecilkan jumlah pekerja dari 30 orang kepada enam sahaja sekarang.

"Tetapi, bila staf tidak ramai, ia sukar juga untuk kami uruskan pelanggan kerana rata-ratanya beli secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp.

"Ramai pelanggan kami sekitar usia 38 ke 50 tahun dan daripada kalangan wanita bekerjaya seperti guru sekolah dan penjawat awam," ujarnya.

Lambakan stok juga sedikit sebanyak menjadi faktor sistem ejen tersebut dilaksanakan.

"Cabaran sekarang adalah nak habiskan stok jualan yang kira-kira 3.5 juta dalam kedai kami," katanya.

Justeru, Noridah kini giat mengaktifkan sistem ejen secara tidak langsung membuka peluang besar terutama kepada golongan suri rumah sepenuh masa untuk menjana pendapatan.

Katanya, setiap ejen juga akan ditawarkan komisen lumayan sebanyak RM30 hingga RM40 mengikut keadaan sesama untuki satu set pakaian.

Noridah terpaksa mengehadkan penghasilan stok tidak lebih 100 pasang sehari.

Menariknya, Noridah juga melakukan sistem bayaran secara ansuran kepada pelanggan yang kurang berkemampuan seperti golongan tersebut.

"Saya tahu ramai suri rumah nak ada duit poket sendiri tetapi, tidak tahu nak mula.

"Mereka boleh bantu kami buat susulan dengan pelanggan dan bantu promosi pada masa sama jana pendapatan.

"Untuk sistem bayaran ansuran pula, pelanggan boleh bayar serendah RM50 sebulan dan terima pakaian dahulu.

"Saya tak mampu bagi semua wanita banyak baju. Tetapi, saya nak mereka rasa ada sekurang-kurangnya satu baju yang buat mereka yakin, selesa dan cantik," katanya.

Berkat usahanya, Noridah juga kini dibantu menerusi Program Lanjutan Usahawan Siswazah (Grow Plus) di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) secara percuma. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram