PADA 2010, Roslina Mat Yusof yang juga seorang individu kurang upaya (OKU) fizikal dan pendengaran mula menjual maruku yang dihasilkannya sendiri dari rumah untuk membantu suaminya, Rosmadi Hassan, 46, menambah pendapatan keluarga.
Bagaimanapun, permulaan yang dilaluinya bukan mudah.
Ini kerana selain perlu menangani stereotaip negatif segelintir masyarakat khususya terhadap golongan OKU sepertinya, dia juga berdepan kekangan daripada segi keupayaan untuk mengeluarkan muruku pada jumlah yang banyak.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Mana tidaknya, pada waktu itu, dia yang tinggal di Kampung Banggol Petai, Pasir Mas, Kelantan membuat hidangan makanan itu secara manual dengan hanya menggunakan tangan dan dimasak menggunakan kuali.
"Waktu itu saya hanya membuat sekitar dua kilogram maruku. Semuanya dilakukan secara manual dengan tangan daripada proses mengacau, acuan sampai menggoreng.
"Kemudian bila waktu menjual, saya juga ada berdepan dengan pandangan serong segelintir masyarakat kita. Malah ada yang sampai kata dia rasa jijik dengan makanan yang kita jual," kongsinya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, kesemua perkara tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat Roslina yang kekal tabah dengan segala cabaran dihadapi selama kira-kira lebih 10 tahun berniaga untuk menolong suaminya mendapatkan pendapatan tambahan sebagai penoreh getah.
Malah, tempoh tersebut juga mempersiapkan ibu kepada dua anak itu untuk lebih bersedia dengan segala kemahiran diperlukan untuk menjadi seorang usahawan makanan berjaya.
Nasib kemudiannya menemukan wanita berkenaan dengan kesempatan baharu apabila dia terpilih menjadi antara usahawan B40 termasuk OKU yang dibantu di bawah Program Pembangunan Usahawan (EDP) oleh Yayasan UEM (YUEM).
Menerusi inisiatif tersebut, Roslina Mat Yusof mendapat bantuan berupa mesin pengadun tugas berat elektrik dan mesin murukku hidraulik untuknya meningkatkan pengeluaran maruku pada tahun lalu.
Kini, Selepas hampir setahun, wanita itu berkata, pengeluaran maruku dari rumahnya menerusi jenama Aneka Maruku kini boleh menghasilkan kira-kira 40 kilogram maruku setiap bulan.
Tidak cukup dengan itu, katanya, dengan bantuan latihan pemasaran di media sosial yang disediakan di bawah program tersebut, dia juga dapat memasarkan produk makanannya ke luar negara apabila menerima tempahan dari Mesir.
Roslina kini turut menjual produk makanan rempeyek.
"Selain itu, kebiasaannya permintaan tempahan akan meningkat ketika waktu perayaan sepeti Deepavali dan hari raya Aidilfitri.
"Ketika sambutan Deepavali baru-baru ini, saya menerima tempahan kira-kira 300 pek," katanya yang turut memasarkan produk marukunya di sekitar Pasir Mas.
Dengan bantuan mesin yang diberikan, dia turut mula mempelbagaikan jenis jualan makanannya dengan memperkenalkan produk rempeyek.
Roslina berkata, perniagaan makanan bukanlah satu pekerjaan yang asing buat dirinya memandangkan ibu bapanya sendiri adalah merupakan usahawan yang mengoperasikan kedai makan.
Sehubungan itu, dengan kemajuan jualan marukunya, Roslina berharap agar diberikan peluang pada masa akan datang untuk turut membantu lebih ramai orang yang memerlukan.
"Insya-ALLAH kalau ada rezeki saya akan tolong asnaf dan anak-anak yatim," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram