Contohi Khairul Aming, bekas jurutera fokus satu produk, tak sangka jualan lebih 11 juta 'nappy bag'


  • Bisnes
  • Selasa, 22 Jul 2025

Afiqah disokong oleh suaminya, Sharief yang banyak membantu menguruskan rumah tangga dan perniagaan.

JENAMA Pikalula mungkin kedengaran agak asing dalam kalangan ibu bapa di negara ini, namun ia memiliki pelanggan tersendiri.

Sudah bertapak kira-kira 10 tahun, Pikalula yang diusahakan oleh pasangan suami isteri Nur Afiqah Mohammad Aidid, 37, dan Sharief Hidayatullah, 36, memiliki kisah jatuh bangun sendiri.

Menurut Afiqah, Pikalula sebenarnya bermula dengan produk kasut bayi namun ia tidak bertahan lama kerana beberapa cabaran yang dihadapi termasuk ketika berdepan pandemik Covid-19.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, sewaktu awal proses pengeluaran, dia berdepan masalah konsistensi kerana jahitan tangan bagi setiap kasut yang dikeluarkan adalah tidak sama.

BACA LAGI: Bekas akauntan tinggalkan kerjaya korporat, anak hidap CDH hikmah di sebalik jenama Joey & Mom

BACA LAGI:Demi sara 2 anak, bekas ratu cantik Hong Kong buat 'live' tutorial hingga lewat malam di TikTok

Jenama Pikalula kini fokus kepada pengeluaran beg lampin pakai buang biodegradasi.

Memandangkan ia adalah produk hand-made, pengeluarannya juga agak terhad membuatkan usaha untuk menambah rangkaian kasut kepada moccasin (kasut kulit) tidak dapat berkembang luas.

Keadaan semakin mencabar apabila Covid-19 melanda yang menyaksikan operasi perniagaan tergendala untuk satu tempoh yang agak panjang.

Afiqah dan suami yang merupakan graduan The Royal Melbourne Institute of Technology menggunakan rangkaian kawan-kawan di Australia untuk menjalankan perniagaan personal shopper bagi menampung kos perniagaan.

Melihat Afiqah menguruskan penghantaran sehingga demam menyebabkan suaminya menasihatkan agar dia mengambil pendekatan seperti pempengaruh terkenal, Khairul Aming.

"Dia mahu saya fokus kepada satu produk sahaja tetapi dapat jualan mencecah jutaan unit," katanya.

Bertitik tolak dari situ, lahirlah idea untuk memberi tumpuan kepada satu produk praktikal iaitu beg lampin pakai buangbiodegradasi yang dicetuskan pada 2023.

 

 

Bekas jurutera itu berkata, produk berkenaan bukan sekadar beg plastik, sebaliknya direka dengan teliti yang mana ia kukuh walaupun teksturnya nipis serta ringan.

"Ia mudah diikat dan cukup besar untuk memuatkan beberapa lampin bayi atau baju kotor.

"Malah ia juga diformulasikan dengan haruman khas talkum bayi unik yang mana kita buat kolaborasi dengan pembuat lilin tempatan menjadikan bau produk ini memiliki satu identiti tersendiri," jelasnya.

Menguruskan empat orang cahaya mata berusia empat hingga 10 tahun tanpa bantuan pembantu rumah menjadikan Afiqah dan suami amat peka dengan keperluan anak-anak mereka.

"Ada masanya baju anak basah terkena air atau terkena kotoran jadi apabila ada beg nappy ini, baju-baju itu tidaklah bercampur dengan barangan lain dalam beg.

"Ia juga sesuai untuk situasi seperti pregnancy sickness, kegunaan sanitari dan sebagai beg sampah untuk pasir haiwan peliharaan.

"Saya sendiri pernah lipat satu persatu plastik dari pembelian barang basah dan simpan dalam beg tangan tapi apabila bau busuk daripada muntah atau kotoran bercampur dengan bau plastik sedia ada, ia tambah memeningkan kepala.

"Itu sebabnya haruman daripada nappy bag ini dapat meneutralkan bau kerana sifatnya yang deodorising," katanya.

Beg biodegradasi Pikalula direka dengan teliti yang mana ia kukuh walaupun teksturnya nipis serta ringan.

Afiqah mengakui bukan senang untuk mendidik masyarakat tempatan kerana ramai yang beranggapan plastik biasa boleh digunakan untuk tujuan sama.

"It is something that good to have but it's not a necessity. Jadi susah untuk didik orang kita. Bahkan ada antara kawan-kawan kami yang tanya kenapa tak pakai plastik macam plastik pisang goreng kan?

"Kami tak ambil hati dan menganggap mereka bukan target market kami. Kita jangan get drain dan rasa down apabila orang cakap macam itu," kata Afiqah sambil memberitahu Pikalula diambil daripada singkatan Namanya 'Pika' dan 'lullaby' yang sering dinyanyikan kepada anak sulung, Nayla Akifah.

Kecekalan anak sulung daripada lima beradik kelahiran negeri Melaka itu sebenarnya banyak diajar oleh ibu dan arwah bapanya.

"Saya memang suka buat bisnes sejak zaman belajar lagi sampai mahu teruskan pengajian di universiti dalam bidang perniagaan.

"Tapi arwah ayah pernah pesan —an engineer can become a businessman, but a businessman cannot become an engineer.

"Jadi pesanan itu menjadi pegangan hidup saya," katanya sambil berkongsi pengalaman pernah bekerja di ladang asparagus dan menjadi tukang cuci selain menjual roti bom sejuk beku semasa di Melbourne.

Beg Pikalula juga diformulasikan dengan haruman khas talkum bayi hasil kolaborasi dengan pembuat lilin tempatan.

Bermula dengan jualan 10,000 unit setahun, beg lampin biodegradasi Pikalula mencatatkan peningkatan yang progresif selepas menjalani pembungkusan semula.

"Saya pernah saja kena tipu RM15,000 masa nak buat reka bentuk bungkusan beg nappy ini.

"Memang sedihlah tapi kena move forward juga. Jadi apabila kita keluarkan beg ini dalam pembungkusan lebih kecil mengandungi 10 keping, ia menjadi produk paling laku.

"Walaupun ada bungkusan kecil, kami masih tawarkan bungkusan besar mengandungi 200 keping nappy bag dan jualannya juga lebih baik berbanding dahulu dengan peningkatan berjumlah 50,000 pada tahun lalu.

"Bungkusan yang mengandungi 10 keping pula terjual hingga 150,000 unit pada tahun sama," katanya.

 

 

Angka itu menjadikan keseluruhan jualan mencecah 200,000 unit yang membawa kepada kira-kira 11.5 juta beg.

Mengulas lanjut, Afiqah berkata, 80 peratus jualan datang dari platform dalam talian seperti TikTok Shop, Shopee dan Lazada manakala 20 peratus lagi daripada peruncit di serata negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Strategi pemasaran yang lebih fokus, serta penyertaan dalam ekspo bayi dan kolaborasi dengan pengedar dari Singapura, Brunei dan Indonesia turut membantu melonjakkan jualan produk kami," ujarnya yang pernah mendapat pelanggan dari Jepun.

Sepanjang menjalankan perniagaan, Afiqah sedar sekecil-kecil perkara pun boleh memberi impak besar dalam kehidupan harian ibu bapa.

Hal itu menjadi makna sebenar di sebalik Pikalula — membantu mengurangkan bebanan dengan menyediakanpenyelesaian yang bukan sahaja praktikal, bahkan mesra alam dan mampu milik.

Layari laman web Pikalula untuk maklumat lanjut.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram