
KE mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi.
Peribahasa itu cukup ideal digambarkan usai kejayaan ditempa anak kepada Tokoh Maal Hijrah 1447H, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman pada Mahrajan Al‑Quran Sekolah‑Sekolah (MQSS) 2025 baru-baru ini.
Dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran MQSS peringkat kebangsaan tahun ini, Abeer Widad, 10, dijangka mampu menjadi penerus legasi ibunya di pentas antarabangsa kelak.
BACA LAGI: [VIDEO] Hargai pengorbanan suami, isteri Aaron Aziz kongsi kisah penghijrahan sekeluarga ke Malaysia
Berkongsi kejayaan itu di laman Threads, beliau menitip ucapan tahniah dan berbangga atas momen bersejarah tersebut.
"Alhamdulillah syukur atas izin-NYA anakanda Abeer berjaya menjadi Johan Kebangsaan Sekolah sekolah Malaysia di usia 10 tahun.
"Rezeki Abeer dah tertulis, yang lain tak kurang hebatnya Insha-ALLAH semoga legasi al-Quran tetap terus berkembang sehingga ke akhir hayat," ciapnya.
Membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150, ia nyata satu detik dan lembaran baharu dalam sejarah penganjuran pertandingan tersebut lebih-lebih lagi dengan kemenangan diraih anak kepada bekas Johan Tilawah Al‑Quran Peringkat Antarabangsa 2009 itu.
Dalam pada itu, Sharifah bukanlah nama asing dalam dunia seni bacaan Al-Quran tanah air.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula mencipta nama apabila muncul sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009, menjadikannya antara tokoh wanita Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia Islam.
Dilahirkan dalam keluarga berdarah keturunan Syed dan berpegang kuat kepada nilai keagamaan, Sharifah Khasif difahamkan mula belajar membaca Al-Quran sejak kecil lagi.
Antara pencapaiannya termasuklah:
- Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2008
- Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (2009).
- Dilantik sebagai juri tetap untuk pelbagai pertandingan tilawah tempatan dan antarabangsa.
Tidak hanya aktif sebagai qariah, Sharifah Khasif juga merupakan pengasas dan pengarah Sharifah Khasif Quranic Arts Academy (SKQAA), sebuah institusi pendidikan yang menawarkan kelas tarannum dan tahsin bacaan Al-Quran kepada semua peringkat usia.
Juga aktif dalam dunia dakwah dan pendidikan, ibu kepada dua cahaya mata itu sering dijemput mengisi slot motivasi, forum perdana dan rancangan keagamaan di televisyen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram