
PERNAH mencetuskan fenomena muzik tempatan satu ketika dahulu, penyanyi cantik manis kelahiran Indonesia, Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali sebagai BCL kekal relevan walaupun dibanjiri pendatang baharu industri.
Tidak hanya menumpukan kepada kerjaya nyanyian, mutu lakonannya juga mendapat perhatian penonton yang amat meminati bakat seni dimiliki adik ipar kepada penyanyi popular, Yunalis Zarai itu.
Dikurniakan seorang cahaya mata bersama bekas suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair, BCL tidak menolak sekiranya Noah Aidan Sinclair turut menceburi bidang seni satu hari nanti.
BACA LAGI: [VIDEO] Hargai pengorbanan suami, isteri Aaron Aziz kongsi kisah penghijrahan sekeluarga ke Malaysia
Katanya, Noah kini amat meminati bidang muzik selain gemar lagu Inggeris era 90-an hasil dorongan daripada suami baharunya, Tiko Aryawardhana.
"Dia suka muzik dan lagu dari era 90-an, mungkin pengaruh daripada Tiko juga, tapi anak generasi sekarang memang mereka suka lagu vibes 80-an dan 90-an macam itu.
"Noah suka, jadi biarkan dia explore muzik diminati, belum menentukan yang mana disukai, tapi saya yakin dia akan serap semua genre dirasakan menarik.
"Saya sentiasa sokong kalau dia mahu ceburi bidang muzik, tak salah dan siapa tahu mungkin boleh menjadi realiti satu hari nanti," katanya kepada Majoriti pada sidang media konsert 'BCL: Eternal Love-Timeless Romance' di Kuala Lumpur pada Isnin.
BCL dalam masa sama turut menitip rasa syukur apabila keluarga Asyraf menerima baik kehadiran suami baharunya, selain masih mengekalkan hubungan akrab sesama adik-beradik ipar.
Biarpun sudah mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Tiko, BCL masih berhubung dengan keluarga Ashraf di Malaysia yang disifatkan sangat mesra dan menyokong apa jua keputusan dibuat.
"Mereka terima Tiko seadanya, saya bersyukur keluarga Ashraf dapat menerima kehadiran Tiko dan seluruh ahli keluarganya juga.
"Dulu saya mempunyai hubungan dengan Allahyarham Ashraf sebagai suami isteri, saya tidak hanya bernikah, tetapi juga menyayangi seluruh keluarganya.
"Keluarga Ashraf sentiasa sokong saya, sekarang menyokong Tiko untuk masuk ke dalam keluarga kami," tambahnya.
Dalam pada itu, BCL bakal kembali mengubati kerinduan peminatnya di Malaysia menerusi konsert yang dijadual berlangsung pada 27 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Konsert 'BCL: Eternal Love-Timeless Romance' bakal berlangsung pada 27 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dibawakan oleh Pulse Project Asia, konsert itu bakal membawa peminat menyusuri perjalanan seninya dalam suasana lebih intim dan eksklusif.
"Konsert ini bagaikan membawa pulang penyanyi kesayangan ramai itu ke pentas yang sentiasa disambut hangat oleh peminat di Malaysia.
"Kedatangannya ke ibu kota dijangka terus menghidupkan nostalgia peminat dengan karya-karyanya," kata Pengarah Pulse Project Asia Muhammad Anuar Zaini dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menjanjikan persembahan istimewa pada malam bersejarah itu kelak, BCL dijangka tampil dengan sentuhan emosi menerusi rangkaian lagu-lagu cinta popularnya seperti Cinta Sejati, Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah dan single terbaharunya, Memulai Kembali.
Kali terakhir BCL mengadakan konsert solo di Malaysia ialah pada 2023, menerusi 'Blossom Intimate Concert' dan tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui platform Ticket2U bermula 3 petang Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram