
PENYANYI dan pelakon popular, Bella Astillah meluahkan rasa terharu apabila diberi peluang beraksi di sisi isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dalam sebuah acara istimewa baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di laman Instagram peribadinya, Bella mengakui masih tidak percaya apabila menerima jemputan berprestij itu yang disampaikan menerusi panggilan telefon kepada ibunya, bulan lalu.
“Masih rasa seperti mimpi jadi nyata. Bulan lepas, ibu saya dapat panggilan, jemputan untuk saya buat persembahan bersama Tun Hasmah.
BACA LAGI: Mahu putuskan hubungan sebab tak serasi? Cara terbaik 'reject' si dia tanpa mengecilkan hati
BACA LAGI: [VIDEO] Hargai pengorbanan suami, isteri Aaron Aziz kongsi kisah penghijrahan sekeluarga ke Malaysia
"Saya tak percaya pada mulanya sehingga nampak sendiri mesej tersebut dan bercakap dengan Kak Maryam dan Kak Azah.
“Sebab tak pernah terlintas dalam sejuta kemungkinan saya akan berpeluang sebegini. Alhamdulillah,” tulisnya.
Bella turut berkongsi momen penuh bermakna apabila bukan sahaja dapat bermain muzik bersama Tun Hasmah, malah turut meluangkan masa berbual dan berkongsi tawa dengan Tun Hasmah dan suami tercinta, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Dapat jumpa, main muzik sebelah Tun Hasmah, kongsi cerita dan ketawa bersama mereka. Tun M dan Tun Hasmah juga ajak saya makan tengah hari walaupun saya dah lambat ke kelas — dan sejujurnya, saya langsung tak kisah,” ujarnya.
Menurut Bella lagi, dia sempat mengalirkan air mata kerana terlalu tersentuh dengan keperibadian pasangan negarawan tersebut yang disifatkannya sebagai sangat baik, manis dan tulus.
“Masya-ALLAH… semoga Allah SWT terus kurniakan kesihatan yang baik buat mereka berdua, insha-ALLAH. Mereka benar-benar sweethearts of Malaysia.”
Dalam perkongsian sama, Bella turut memaklumkan konsert Nota Percaya bakal berlangsung pada 23 Ogos ini di Andaman Grand Ballroom, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“P/S: Meja semakin cepat habis. Kalau nak jadi sebahagian daripada detik indah ini, boleh hubungi Team Cahaya di @percaya.my. Jumpa nanti!” tulisnya lagi.
Bella yang aktif dalam bidang seni sejak usia remaja, kini terus mengukuhkan nama dalam industri hiburan tanah air bukan sahaja sebagai penyanyi berbakat, malah sebagai figura inspirasi ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram