Tengku Puteri Jihan cemerlang, peroleh Ijazah Kelas Pertama Sarjana Muda bidang tekstil, terus martabat identiti bangsa


  • Sukses
  • Jumaat, 11 Jul 2025

Tengku Puteri Jihan (tengah) merupakan puteri bongsu kepada Al- Sultan Abdullah (kiri) dan Tunku Azizah. — Instagram/jihans.studioAl- Sultan Abdullah

TENGKU Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam Sarjana Muda (Kepujian) Bidang Tekstil daripada University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom (UK), pada Khamis.

Kesultanan Pahang menerusi satu hantaran di Facebook rasmi memaklumkan, anugerah tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan, bukan sahaja kepada keluarga diraja Pahang, tetapi juga rakyat negeri itu.

Menurut kenyataan tersebut, kejayaan Tengku Puteri Raja menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang dalam bidang kreatif dan teknikal seperti tekstil mencerminkan keazaman, kesungguhan serta dedikasi tinggi sepanjang tempoh pengajian.

BACA LAGI: Tengku Puteri Jihan angkat warisan tekstil Malaysia ke pentas antarabangsa, Jihans Studio sertai UCA Grad Show 2025

BACA LAGI: Bukan hanya dipelihara dalam bingkai, tradisi perlu kekal hidup, terus relevan — Aaron Ago

"Bidang tekstil yang melibatkan elemen seni, reka bentuk, warisan dan inovasi merupakan cabang ilmu yang semakin penting dalam memperkaya budaya serta memartabatkan identiti bangsa.

"Pencapaian ini juga membuktikan golongan muda khususnya wanita, mampu menyerlah dalam bidang yang mencabar dan berpotensi besar untuk diterokai di peringkat global.

"Seluruh warga MKP amat berbangga dengan kejayaan Tengku Puteri Raja yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan aspirasi kepada generasi muda, terutamanya dalam membina masa depan gemilang berasaskan ilmu, kreativiti dan nilai budaya," katanya pada Jumaat.

Anugerah tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan, bukan sahaja kepada keluarga diraja Pahang tetapi juga rakyat negeri itu. — Instagram/jihans.studio

Istana Pahang turut mendoakan agar puteri bongsu kepada Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tersebut terus melakar lebih banyak kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.

"Diharapkan juga Tengku Puteri Jihan berupaya menyumbang ke arah pemerkasaan industri kreatif tanah air, khususnya dalam memperkasa warisan tekstil tempatan di persada antarabangsa," maklumnya.

Sebelum ini, Tengku Puteri Jihan mencuri perhatian dunia seni antarabangsa menerusi penyertaan rasminya di UCA Grad Show 2025.

Pengasas di sebalik jenama tekstil Jihans Studio itu tampil unik menerusi projek bertajuk Cityscapes Of The Future.

Tengku Puteri Jihan memartabat estetika warisan tekstil negara pada pameran tekstil UCA Grad Show 2025. — Instagram/jihans.studio

Merupakan sebuah gabungan seni tekstil yang menghimpunkan elemen futuristik dengan warisan seni bina tradisional Malaysia, ia memperlihatkan kematangan estetik dan jati diri budaya yang kuat dalam setiap helaian fabrik.

Grad Show 2025 UCA adalah platform tahunan menghimpunkan bakat baharu dari pelbagai bidang kreatif, termasuk tekstil, fesyen, grafik dan seni halus.

Pameran tahun ini berlangsung di tiga kampus utama di Epsom, Farnham dan Canterbury, England dari 9 hingga 25 Jun, selain turut boleh diakses secara dalam talian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram