
SEORANG lagi wanita Arab mencipta sejarah dunia apabila anggota kerabat diraja Qatar, Sheikha Asma Al Thani menjadi wanita pertama dari negaranya yang berjaya menawan puncak Nanga Parbat, salah satu gunung paling berbahaya di dunia.
Berketinggian 8,126 meter (m) yang terletak di wilayah Gilgit-Baltistan, Pakistan, puncak itu terkenal dengan gelaran 'Gunung Pembunuh' disebabkan bentuk muka buminya yang sukar serta sejarah pendakian yang sering meragut nyawa.
Kejayaan Sheikha Asma menjadikan Nanga Parbat sebagai pendakian ke-9 beliau daripada 14 gunung lapan ribuan atau eight-thousanders, iaitu siri gunung yang melebihi 8,000m tinggi di seluruh dunia.
BACA LAGI: Pernah dituduh lemah, emosi tak stabil, kini makin ramai wanita terlibat ekspedisi gunung ekstrem
Sheikha Asma dalam satu hantaran di Instagram miliknya menyifatkan pendakian ke Nanga Parbat sebagai antara yang paling mencabar dalam hidupnya, terutama apabila terpaksa meredah cuaca ekstrem, ribut salji, ais hitam dan runtuhan batuan secara berterusan.
“Alhamdulillah, Nanga Parbat. Puncak ke-9 saya melebihi 8,000m dan salah satu pendakian paling mencabar.
"Gunung ini benar-benar menguji saya dengan cara yang tidak dijangka, sekali gus mengingatkan diri ini betapa rapuhnya kehidupan,” tulisnya.
Sambil merefleksi diri, Puteri Diraja Qatar itu mengakui pendakian tersebut membawanya kepada kekuatan dalaman yang tidak pernah disedari sebelum ini.
“Ada saat hampir menyerah, tetapi saya temui kekuatan yang masih tersimpan.
"Saya mendaki bukan hanya untuk sampai ke puncak, tetapi untuk kembali kepada sesuatu yang benar-benar penting dalam hidup,” ujarnya.
Sheikha Asma menyifatkan pendakian ke Nanga Parbat sebagai antara yang paling mencabar dalam hidupnya. — Instagram/atalthani
Bendera harapan
Di puncak tertinggi itu, Sheikha Asma mengibarkan bendera Qatar sebagai simbol kebanggaan negara dan mesej kuat tentang kesaksamaan gender, terutama dalam bidang sukan ekstrem yang jarang diceburi wanita Arab.
Kejayaan beliau bukan sahaja mendapat pengiktirafan global, malah dianggap sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkasa wanita di dunia Arab dan Islam.
Memetik laporan travelsdubai.com, setiap kejayaan Sheikha Asma dalam menawan puncak tinggi dunia menjadikan beliau semakin hampir untuk menyertai kelab elit pendaki global yang berjaya menawan semua 14 gunung eight-thousanders.
Duta pelancongan
Susulan kejayaan menawan Gunung Nanga Parbat, kerajaan Pakistan pada Selasa mengumumkan pelantikan Sheikha Asma sebagai duta jenama bagi gunung dan pelancongan negara itu.
Kerajaan Pakistan melantik Sheikha Asma sebagai duta jenama bagi gunung dan pelancongan negara itu. — Instagram/atalthani
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi satu ciapan di platform X (Twitter) menzahirkan ucapan tahniah kepada Sheikha Asma dan memuji keberaniannya dalam mengharumkan nama dunia pendakian.
Sheikha Asma yang kini dianggap antara ikon pendaki elit wanita dunia, merupakan wanita pertama dari Qatar yang berjaya menawan Gunung Everest, Lhotse, Manaslu dan K2.
Beliau juga mencipta sejarah sebagai wanita pertama dari negaranya yang mendaki Ama Dablam dan individu pertama dari Qatar yang berjaya bermain ski ke Kutub Utara.
Lebih mengagumkan, ketika mendaki Gunung Manaslu, beliau menjadi orang Arab pertama yang menawan puncak 8,000m tanpa bantuan oksigen tambahan, iaitu satu pencapaian luar biasa dalam dunia pendakian altitud tinggi.
Pada Mei 2024, Sheikha Asma menawan Gunung Lhotse buat kali kedua, juga tanpa penggunaan oksigen tambahan.
Sheikha Asma ketika berada di puncak Gunung Elbrus pada 2021. — Instagram/atalthani
Dengan itu, beliau dinobatkan sebagai orang Arab pertama yang berjaya menawan dua puncak lebih 8,000m tanpa oksigen, sekali gus memperkukuh legasinya dalam sejarah sukan ekstrem wanita Arab.
Sheikha Asma juga gemar berkongsi kisah serta cabarannya secara terbuka di media sosial, selain turut memuat naik foto-foto dan video eksklusif dari ketinggian luar biasa.
Setiap pendakian yang dikongsikan bukan sekadar memperlihatkan keindahan alam, tetapi juga kisah perjuangan fizikal dan mental yang menjadi inspirasi kepada wanita di seluruh dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram