
MALAYSIA sejak sekian lama menjadi destinasi pilihan utama rakyat Indonesia untuk menetap, sama ada bagi tujuan bekerja, melanjutkan pengajian mahupun tinggal secara tetap.
Keakraban budaya, kemudahan hidup dan kestabilan ekonomi menjadikan negara ini ‘rumah kedua’ buat sebahagian besar mereka.
Baru-baru ini, seorang pengguna Instagram dikenali sebagai Handyna berkongsi pandangan beberapa kenalannya dari Indonesia mengenai sebab utama mereka seronok tinggal di Malaysia.
BACA LAGI: Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global
Antara perkara disebut termasuk kualiti udara yang jauh lebih bersih membantu menjaga kesihatan, terutamanya bagi mereka yang sensitif terhadap pencemaran udara.
Dari sudut ekonomi pula, nilai tukaran mata wang lebih tinggi menjadi tarikan utama.
"Ringgit tukar ke rupiah jadi banyak," kata seorang lagi sambil berseloroh.
Satu aspek lain yang menarik ialah keselesaan ketika memandu.
"Saya yang memandu di Malaysia tiada suara klakson (bunyi dihasilkan oleh alat yang dipasang pada kendaraan agar pengguna jalan lain waspada).
"Sangat kondusif dan teratur (pergerakannya)," ujar seorang wanita Indonesia.
Hal makanan juga tidak terkecuali apabila kebanyakannya menyatakan bahawa sajian di Malaysia sedap belaka.
Tambahan pula, pelbagai jenis makanan tempatan yang hampir serupa dengan masakan Indonesia memudahkan proses penyesuaian diri.
"Di Malaysia duriannya sangat enak. The best!" ujar individu yang lain.
Ada segelintir berpendapat, kos sara hidup turut menjadi faktor utama, dengan perbelanjaan di Malaysia adalah jauh lebih murah dibandingkan di Indonesia yang sangat mahal.
Menariknya, ramai merasakan suasana di Malaysia mempunyai aura luar negara, tetapi tetap dekat dari segi budaya dan emosi.
"Kalau secara mentaliti anak perantau, aura di sini sudah seperti berada di luar negara.
"Namun kalau secara mentaliti anak, suasana di Malaysia juga seperti berada dekat dengan keluarga di luar bandar," jelas seorang lagi wanita.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai kerana membongkar sisi positif kehidupan di Malaysia daripada perspektif warga asing.
Keamanan hidup di Malaysia bagi warga Indonesia bukan hanya bergantung pada peluang pekerjaan atau gaji yang diterima.
Sebaliknya, gabungan faktor seperti persekitaran bersih, kos hidup lebih rendah, suasana selamat dan budaya yang hampir serupa menjadikan Malaysia lokasi ideal untuk mereka membina kehidupan baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram