Bawa RM10,000 naik Himalaya, 6 beradik asal Penang tak sangka buah eksotik ubah nasib keluarga


  • Bisnes
  • Ahad, 06 Jul 2025

Dari kiri: Oon Lay Teng, Kim Suan, Lay Ean, dan Lay Kim semasa mengambil bahagian dalam pameran perdagangan di Hong Kong pada 2024.

SIAPA sangka keputusan enam beradik yang tekad membantu komuniti di perkampungan terpencil di pergunungan Himalaya membuahkan hasil.

Mereka yang mengusahakan jenama Idemo Beauty pada 2012 kini menjadi pengeluar utama produk penjagaan kulit vegan menggunakan buah aprikot yang dieksport dari pergunungan itu.

Kisah mereka bermula apabila empat daripada enam adik-beradik itu mengembara ke Himalaya untuk membuat kerja amal selain membantu komuniti desa di kawasan tersebut.

BACA LAGI: Tak sanggup tengok anak derita ekzema, Krept ubah naratif penyanyi rap, tampil sebagai usahawan produk bayi 

BACA LAGI: Cipta minuman berkarbonat dari rumah, ibu 3 anak catat jualan hampir 2 bilion tin dalam 18 bulan

Anak kedua dalam keluarga itu, Lay Kim Onn berkata, pada awalnya mereka mahu menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada organisasi yang menjalankan kerja-kerja amal di Himalaya.

"Kami adik beradik dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana di Pulau Pinang. Sejak kecil kami dididik untuk menyumbangkan sebahagian daripada pendapatan bagi membantu golongan miskin.

“Apabila sudah dewasa, kami masing-masing memegang jawatan penting dalam bidang penjagaan kesihatan dan korporat.

“Jadi, kami ingin mendermakan RM10,000 yang telah kami kumpulkan kepada organisasi kebajikan ini di Himalaya,” kata Lay Kim, anak kedua dalam keluarga tersebut.

Namun, ceritanya, sepanjang lawatan itu, dia dan adik-adiknya yang lain belajar mengenai keajaiban buah aprikot Himalaya yang kemudiannya mengubah perjalanan hidup mereka.

Buah aprikot Himalaya tumbuh pada ketinggian antara 2,800 hingga 4,500 meter dari paras laut.

Ia kemudiannya diproses oleh golongan wanita di kampung yang dihuni kira-kira 270,000 penduduk untuk dijadikan minyak yang digunakan sebagai pelembap kulit harian.

“Walaupun terdedah kepada sinaran ultraungu yang kuat, kami perasan kulit penduduk kampung tersebut tetap cantik dan sihat, tanpa penggunaan pelindung matahari,” kata Lay Kim.

Buah aprikot dipetik satu demi satu dengan tangan, sebelum minyaknya diekstrak secara teliti tanpa mengubah struktur kimianya. — Idemo

Katanya lagi, kebanyakan penduduk kampung hidup dalam keadaan daif dan buah aprikot berlebihan biasanya digunakan untuk memberi makan kepada ternakan.

Menyedari potensi perubatan dan kecantikan buah eksotik tersebut, Lay Kim mengambil langkah lebih jauh dengan melanjutkan pengajiannya dalam bidang Sains Kosmetik Organik pada 2013.

Pada 2015, dia bersama lima lagi adik-beradik memutuskan untuk menubuhkan syarikat Onn Natural Enterprise Sdn Bhd (Idemo), dengan modal yang dikumpul bersama.

Mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, dengan setiap adik-beradik memegang peranan yang berbeza.

Lay Kim bertanggungjawab dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan produk.

"Dalam tempoh itu, kami membeli biji aprikot dari kampung-kampung di Himalaya itu untuk kajian.

"Namun hanya baru tahun ini kami memasarkan produk ini di bawah jenama Idemo selepas memperoleh pensijilan yang diperlukan.

"Semasa kajian terhadap biji aprikot itu dijalankan, kami terpaksa berhenti seketika kerana perlu menjaga ibu yang sakit.

"Dia banyak terlantar di katil dan mengalami luka 'bedsore', namun, kami dapati produk krim kami sangat membantu merawat luka itu serta meningkatkan kesihatan kulitnya,” kata Lay Kim.

Buah aprikot Himalaya ditemui di sepanjang banjaran gunung yang persekitarannya kekal terpelihara dengan udara segar dan air jernih dari glasier. — Idemo

Buah aprikot dipetik satu demi satu dengan tangan, sebelum minyaknya diekstrak secara teliti tanpa mengubah struktur kimia bagi mengekalkan segala khasiat semula jadi anugerah alam.

Kebaikan ramuan lain seperti shea butter, protein beras, rose geranium, jojoba, aloe vera, ginseng dan teh hijau turut digabungkan dalam penyediaan produk penjagan kulit Idemo.

Kini, syarikat tersebut mempunyai kilang di Pulau Pinang dan telah mengembangkan rangkaian produk mereka daripada satu kepada tujuh produk lain termasuk minyak, krim dan gel.

Tahun ini, Idemo turut meraih dua anugerah berprestij, iaitu Best Vegan Natural Skincare Brand 2025 dan Beauty Shortlist Awards 2025 – Britain.

Produk mereka kini dieksport ke Timur Tengah, Eropah dan Indonesia.

Mereka juga merancang untuk mencari pelabur baharu bagi mengembangkan pengeluaran serta memasarkan produk berkenaan ke China dan seluruh Malaysia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram