Akui sukar cari kerja, graduan seni reka grafik tak kisah jual keutiau goreng, biskut ais jem mini


  • Bisnes
  • Rabu, 09 Jul 2025

Joyee berkata, peluang membuat pameran di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada tahun lalu membuka jalan yang lebih besar untuk produknya lebih dikenali di luar negara.

 

PASTI ramai di antara kita khususnya generasi milenial memiliki snek kegemaran ketika zaman kanak-kanak dan yang popularnya tentulah biskut ais jem.

Biskut kecil yang rangup dengan hiasan aising berwarna-warni di atasnya tentu menggamit kenangan sesiapa sahaja.

Nostalgia sama turut dikongsi oleh Joyee Tan, 29, yang akan terkenang memori bersama mendiang neneknya apabila memakan biskut ais jem itu.

BACA LAGI: Tanpa pendidikan formal, wanita muda dari China berjaya selesaikan soalan matematik tak terjawab lebih 100 tahun

BACA LAGI: Tak sanggup tengok anak derita ekzema, Krept ubah naratif penyanyi rap, tampil sebagai usahawan produk bayi

Antara aksesori berasaskan makanan tempatan yang dihasilkan oleh Joyee. 

Memori itu diabadikan Joyee dalam bentuk yang cukup comel sekali apabila dia menghasilkan barangan kraf unik daripada tanah liat yang diinspirasikan daripada snek dan makanan terkenal serata Malaysia.

Berkecimpung dalam pembuatan seni pertukangan halus itu, Joyee berkata, semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021 akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Ketika itu, katanya, dia baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang seni reka grafik dari sebuah kolej swasta di ibu negara.

“Agak sukar untuk mencari pekerjaan kerana banyak industri terjejas malah pergerakan ke mana-mana pada masa itu agak terhad.

“Jadi saya mulakan hobi mencipta miniatur makanan daripada tanah liat dan resin bagi mengisi masa yang terluang.

“Saya buat produk yang ringkas seperti pastri dan produk bakeri pada mulanya sebelum saya terfikir untuk hasilkan sesuatu yang lebih dekat dengan masyarakat tempatan,” katanya yang memasarkan barangan tersebut di bawah jenama @1.12.space yang diilhamkan daripada nisbah saiz miniatur dengan objek sebenar.

 

Produk miniatur dalam bentuk aksesori itu kemudian dimuat naik di RedNote, sebuah aplikasi media sosial dan e-dagang berbahasa Cina yang kemudian mendapat sambutan yang baik.

“Saya ingat lagi produk pertama yang dihasilkan ialah kuih kapit kerana ia snek kegemaran saya dan maklum balas yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan.

“Malah, saya mendapat permintaan untuk membuat snek lain seperti keropok roda, muruku, tart nanas, kuih ros atau biskut loyang dan bahulu,” katanya sambil memberitahu proses menghasilkan produk berkenaan mengambil masa sehingga tujuh hari untuk disiapkan.

Wanita berasal dari George Town, Pulau Pinang itu tidak menganggap proses berkenaan meletihkan kerana minatnya yang mendalam terhadap seni miniatur mengatasi segala-galanya.

Bahkan, dia menggunakan kreativiti serta bakat yang dikurniakan untuk menghasilkan ‘makanan’ yang pembuatannya jauh lebih kompleks.

“Saya cuba buat keutiau goreng, nasi ayam, nasi lemak dan roti canai yang tentunya adalah makanan kegemaran sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Boleh dikatakan ia agak sukar untuk dihasilkan kerana saya perlu menyiapkan bahan satu persatu sebelum boleh diletakkan dalam pinggan.

Biskut kapit, ais jem dan kuih ros antara aksesori diilhamkan daripada snek tempatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. 

“Contohnya untuk keutiau goreng, saya perlu buat telur, tauge, udang, kek ikan dan mi secara berasingan satu persatu.

“Begitu juga dengan nasi lemak kerana ayam, timun, telur rebus dan kacang perlu dibuat secara individu.

“Memang renyah dan memenatkan namun apabila ada pelanggan yang menghargai kehalusan teknik pembuatan ini, saya rasa gembira dan anggap ia berbaloi untuk diteruskan,” katanya yang turut mencipta acuan bagi memudahkan proses penghasilan.

Anak sulung daripada dua beradik itu juga tidak mengehadkan produknya sebaliknya sentiasa terbuka menerima idea daripada pelanggan untuk meneroka sesuatu yang baharu.

“Baru-baru ini, saya ada terima permintaan untuk hasilkan aksesori yang diilhamkan daripada minuman bungkus ikat tepi.

“Saya guna resin kerana sifatnya yang jernih dan bereksperimen dengan gabungan warna bagi menghasilkan air seakan-akan sirap, teh O dan kopi O.

“Ramai yang suka kerana ia unik dan lutcahaya. Saya tambah penyedut minuman, ais dan hirisan limau untuk menjadikannya lebih real,” katanya.

Sifat resin yang jernih membolehkan Joyee bereksperimen dengan warna untuk menghasilkan koleksi aksesori minuman bungkus ikat tepi.

Produk terbaharu yang dihasilkan ialah sate dan cendol yang boleh didapati dalam bentuk rantai kunci, brooch, magnet peti sejuk dan anting-anting bermula pada harga RM20 hingga RM75.

“Kalau ada permintaan saya akan buat individual charm untuk dipakai bersama rantai atau gelang,” katanya yang turut menghasilkan manisan seperti aiskrim potong, kuih onde-onde dan buah-buahan seperti durian, pear dan epal.

Joyee berkata, peluang membuat pameran di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada tahun lalu membuka jalan yang lebih besar untuk produknya lebih dikenali di luar negara.

“Saya kini mendapat tempahan dari Australia, Amerika Syarikat dan Singapura. Mereka gemar menghadiahkan miniatur snek dan makanan ini kepada kenalan di negara masing-masing sebagai cenderahati,” ujarnya.

Joyee menyifatkan ibu adalah orang kuat di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini walaupun pernah suatu ketika semasa awal pembabitan dalam perniagaan, dia berdepan kesukaran untuk menjana keuntungan.

“Dia memberikan sokongan terhadap minat saya dan tidak pernah memperkecilkan apa yang diusahakan ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram