
MERANTAU ke negara orang bersendirian, sudah sembilan tahun Softianing Pangesti, menetap dan membina kerjaya di Malaysia.
Kini, selain bekerja di sektor korporat, wanita asal Medan, Indonesia berusia 27 tahun itu turut dikenali sebagai pencipta kandungan yang aktif mempromosikan makanan tempatan dan kehidupan harian di negara ini.
Softianing mula menjejakkan kaki ke Malaysia pada usia 18 tahun ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global
Sofi memilih untuk menetap di Malaysia disebabkan lokasinya dekat dengan kampung halamannya, Medan.
Pemilihan Malaysia dibuat atas faktor jarak yang dekat dari Medan, selain persamaan budaya yang memudahkan proses penyesuaian.
“Saya pilih Malaysia disebabkan lokasinya lebih dekat dengan kampung halaman, Medan dan budaya pun tidak banyak beza.
"Orang Malaysia sangat peramah dan mudah mesra. Ia salah satu sebab saya cepat rasa selesa di sini,” katanya yang mesra disapa Sofi kepada Majoriti baru-baru ini.
Usai tamat pengajian, Softianing kembali seketika ke Indonesia sebelum berjaya mendapat tawaran pekerjaan semula di Malaysia.
Beliau tidak menafikan, tawaran gaji menarik dan peluang kerjaya lebih luas menjadi antara faktor utama mendorong penghijrahannya.
Sofi juga kerap berkongsi kepelbagaian sajian terdapat di Malaysia. — Instagram/kesukaansofi
Bahasa dan penyesuaian
Persis kebanyakan individu lain, penghijrahan wanita tersebut pastinya menuntut beberapa proses adaptasi sebelum benar-benar menyesuaikan diri di negara orang.
Menyentuh soal pertuturan, ujar wanita mesra disapa Sofi itu, meskipun bahasa Malaysia dan Indonesia berkongsi akar sama, masih terdapat perbezaan yang memerlukan masa untuk dibiasakan.
"Pada awalnya memang ada cabaran sikit sebab belum boleh cakap bahasa Malaysia dengan lancar.
"Ketika itu juga saya hanya guna bahasa Inggeris apabila bercakap dengan kawan-kawan berbangsa Melayu, tapi mereka okey saja.
"Apabila dah biasa hari-hari bercakap, lama-lama saya pun boleh cakap bahasa Malaysia," jelasnya yang turut mengikuti kelas bahasa Malaysia sewaktu di universiti.
Dari segi budaya dan masyarakat, Softianing mengakui tidak mengalami kejutan budaya terlalu besar, malah menyifatkan Malaysia sebagai negara yang sangat menyenangkan untuk orang luar menyesuaikan diri.
"Kalau ikutkan, tak banyak beza. Cuma suasana kehidupan dan cara kerja ada sedikit perbezaan tapi semuanya boleh dihadapi.
“Walaupun makanan Malaysia tidak semuanya sama seperti Indonesia, tapi saya boleh sesuaikan.
"Hari-hari pun makan makanan Malaysia. Walaupun berbeza, saya suka juga,” katanya yang memiliki lebih 51,000 pengikut di TikTok dan 18,000 di Instagram.
Pencipta kandungan itu turut gemar melakukan aktiviti yoga pada hujung minggu. — Instagram/kesukaansofi
Bakso
Ceritanya, minat anak bongsu daripada dua beradik itu dalam menghasilkan kandungan media sosial bermula selepas bekerja.
Tidak terlintas di fikiran, rakaman menikmati semangkuk bakso di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor yang dimuat naik di media sosial 'meletup' secara tiba-tiba dan meraih perhatian banyak pihak.
Sejak itu, beliau terus aktif menghasilkan kandungan merangkumi makanan, aktiviti harian dan pengalaman bekerja di Malaysia.
“Ramai juga orang Indonesia yang tertarik nak kerja di Malaysia lepas tengok saya kongsi rutin harian di sini, terutamanya apabila saya kongsi hal positif," bicaranya.
Bohong katanya, jika langsung tidak menerima sebarang kecaman, namun wanita murah senyuman itu memilih untuk fokus pada hal positif sahaja.
"Saya ada juga terima komen negatif berkaitan bahasa dan asal usul. Ada yang suruh balik Indonesia, kata tak payahlah cakap Melayu.
"Namun tak ambil hati pun, saya teruskan saja buat perkara yang disukai,” ungkapnya yang memanfaatkan hujung minggu untuk merakam kandungan video.
Sofi gemar melancong ke destinasi percutian di Malaysia dan berkongsi pengalamannya di media sosial. — Instagram/kesukaansofi
Jatuh cinta
Setelah hampir sedekad di Malaysia, Sofi mengakui sudah jatuh cinta dengan Malaysia.
Ditanya antara perkara paling dihargai di negara ini, pantas beliau menjawab sistem pengangkutan awam yang cekap dan saling berhubung merangkumi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Selain itu, beliau juga tertarik dengan harga petrol yang lebih rendah di Malaysia berbanding di negaranya, walaupun tanpa subsidi.
“Di Malaysia, isi minyak lebih murah dan ia sangat membantu, terutama untuk yang menggunakan kenderaan sendiri,” ujarnya yang turut gemar melakukan aktiviti yoga pada hujung minggu.
Satu lagi aspek membuatkan beliau selesa menetap di sini adalah kos sewa kediaman, terutamanya di Kuala Lumpur yang disifatkan lebih berpatutan.
“Kalau di Jakarta, sewa bilik pun boleh cecah jutaan rupiah, tapi di sini, pada harga sama boleh duduk kondominium lengkap dengan kemudahan,” jelasnya.
Melihat Malaysia dari kaca mata seorang perantau, Softianing menyimpulkan pengalamannya sebagai sesuatu yang positif dan bermakna.
“Malaysia banyak beri saya peluang untuk belajar, berkembang dan mengenal dunia luar.
"Saya bersyukur menjadi sebahagian daripada komuniti di sini,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram