Dari Palembang ke pentas dunia, Dian Pelangi angkat fesyen Muslimah ke tahap global


  • Sukses
  • Rabu, 04 Jun 2025

Dian Pelangi tetap teguh dengan visi bahawa wanita Islam boleh bergaya tanpa menjejaskan nilai syariah. — Instagram/dianpelangi

DI tengah arus perubahan dunia fesyen Muslimah yang mulai dinamik dan berani bereksperimen, nama Dian Pelangi menjadi antara ikon yang semakin menonjol. 

Pereka muda kelahiran Palembang, Indonesia itu bukan sahaja berjaya mengangkat imej fesyen tudung sebagai sesuatu yang bergaya dan elegan, malah menjadikannya satu identiti global.

Dian Pelangi, atau nama sebenarnya Dian Wahyu Utami dilahirkan pada 14 Januari 1991. 

BACA LAGI: [VIDEO] Diberi masa 5 hari untuk hidup, Aziela buktikan kanser bukan halangan, usahawan tak boleh 'hati tisu'

BACA LAGI: [VIDEO] Pejabat pernah terbakar, dibelenggu hutang, pengasas Wardah kini antara wanita berpengaruh di Indonesia, tak suka tayang kemewahan

Dian Pelangi mencuri perhatian dengan gaya rekaan hijab yang segar dan berani. — Instagram/dianpelangi 

Sejak kecil, beliau terdedah kepada dunia perniagaan fesyen melalui keluarga yang menjalankan perniagaan butik pakaian Muslimah. 

Nama Dian Pelangi itu sendiri diambil daripada butik milik keluarganya dan kini menjadi jenama yang mewakili semangat, kreativiti dan keberanian wanita itu dalam berfesyen.

Mula melibatkan diri dalam perniagaan sejak remaja, wanita yang pernah tersenarai dalam Forbes 30 under 30 pada 2018 itu mengambil langkah aktif menyertai pelbagai pertunjukan fesyen, baik dalam mahupun luar negara. 

Pada usia 18 tahun, beliau sudah mula mencuri perhatian dengan gaya rekaan hijab yang segar, berani dan penuh warna, jauh berbeza daripada persepsi konservatif yang lazim terhadap fesyen Muslimah.

Dian bijak menggabungkan unsur budaya pop dengan elemen tradisional seperti batik jumputan, tenun Nusa Tenggara dan motif etnik tempatan. 

Ia menjadikan setiap koleksinya bukan sahaja kontemporari, malah sarat dengan nilai budaya yang unik.

Suami dan anak sebagai tulang belakang dalam perjalanan karier usahawan tersebut. — Instagram/dianpelangi 

Peka pasaran

Salah satu kekuatan utama Dian Pelangi ialah keupayaannya untuk terus berinovasi. 

Beliau tidak hanya bermain dengan rekaan, tetapi juga mengubah pendekatan pemasaran dengan memanfaatkan media sosial sebagai platform membina jenama dan komuniti. 

Baginya, Instagram dan YouTube bukan sekadar tempat promosi, tetapi ruang pendidikan gaya hidup Muslimah moden.

Ibu kepada seorang cahaya mata bernama Rumi itu juga merupakan pelopor dalam mengangkat konsep fesyen sederhana ke peringkat antarabangsa. 

Penyertaannya dalam acara seperti Minggu Fesyen Paris dan Minggu Fesyen Jakarta membuktikan bahawa fesyen Muslimah Indonesia mampu bersaing di mata dunia.

Dian Pelangi berani mencipta identiti unik untuk memperkenalkan jenamanya. — Instagram/dianpelangi 

Patuh syariah

Kejayaan Dian Pelangi tidak datang tanpa cabaran. Ketika beliau mula memperkenalkan gaya hijab berwarna-warni, ada yang menganggapnya terlalu mencolok dan bertentangan dengan nilai kesederhanaan. 

Namun, beliau tetap teguh dengan visinya, bahawa wanita Islam boleh bergaya tanpa menjejaskan nilai syariah.

Beliau juga harus berdepan dengan perubahan pantas dalam industri fesyen serta kesan pandemik Covid-19.

Namun, pendekatan digital dan strategi jualan dalam talian yang diterapkan berjaya memastikan kelangsungan perniagaannya.

Kini, jenama Dian Pelangi berkembang melangkaui pakaian, termasuk aksesori, kosmetik dan gaya hidup Muslimah. 

Produk-produknya dijual bukan sahaja di Indonesia, malah sehingga ke Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Kisah Dian Pelangi adalah sumber inspirasi besar buat usahawan mikro, kecil dan sederhana. 

Banyak sisi positif yang boleh diambil daripada kisah perjalanan beliau termasuk:

1) Berani jadi berbeza: Cipta identiti unik jenama anda.

2) Manfaatkan budaya tempatan: Produk bercirikan tempatan ada nilai istimewa di pasaran global.

3) Aktif di media sosial: Gunakan platform digital untuk mendidik dan membina hubungan pelanggan.

4) Belajar dan adaptasi: Responsif terhadap cabaran dan perubahan trend.

5) Fikir secara global: Jangan hadkan pasaran kepada lokaliti semata-mata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram