
MENDIRIKAN rumah tangga sebelum usia 25 tahun bukan sesuatu membebankan.
Di laman Threads, ramai pasangan muda tampil berkongsi kisah bagaimana mereka berjaya melangsungkan perkahwinan dengan perancangan kewangan yang bijak meskipun berpendapatan sederhana.
Perkongsian mereka menjadi inspirasi kepada golongan muda yang merancang untuk berkahwin tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan keluarga atau membuat pinjaman.
Ramai pasangan kini mampu nikah pada usia muda. — Gambar hiasan
Berikut lima tip boleh dijadikan panduan untuk mengumpul wang kahwin sebelum usia 25 tahun:
1. Nikah dahulu, majlis kemudian
Ramai yang memilih untuk bernikah dahulu dan menangguhkan majlis kenduri sehingga keadaan kewangan lebih stabil.
Seorang pengguna, Scha.hyrah berkata, beliau dan suami bernikah selepas lebih setahun berkenalan walaupun ketika itu masing-masing belum mempunyai simpanan kahwin.
“Saya baru kerja empat bulan, suami pula setahun lebih. Tak ada simpanan bersama. Kami nikah dulu, empat bulan kemudian baru buat kenduri ikut kemampuan,” katanya, yang berkahwin pada usia 23 tahun.
2. Simpan secara konsisten, bahagi tanggungjawab
Pengguna lain, Eeylahmz pula berkongsi bahawa mereka menyimpan setiap bulan selama setahun dan membahagikan perbelanjaan mengikut kemampuan masing-masing.
“Kami simpan RM700 seorang setiap bulan. Bila tinggal empat bulan lagi, saya guna gaji bayar jurugambar, jurusolek, inai dan baju. Suami terus simpan. Rasa macam bajet lari, tapi ALLAH permudahkan semuanya,” ujarnya.
Membuat simpanan bagi tujuan perkahwinan penting untuk membolehkan seseorang berkahwin tanpa bebanan hutang. — Gambar hiasan
3. Membuat tabung persiapan perkahwinan walau belum jumpa jodoh
Pengguna, Zara Dominic pula menasihatkan golongan muda agar memulakan tabung kahwin seawal mungkin, walaupun belum ada calon pasangan.
“Buat tabung kahwin dari sekarang. Jodoh belum ada pun tak apa. Kalau tak jadi kahwin pun, boleh jadi simpanan kecemasan. Jangan habiskan duit untuk enjoy bila belum ada komitmen,” katanya.
4. Kerja keras, tetapkan sasaran simpanan
Pwincesyy berkata, memiliki disiplin dan kerja keras membolehkan dia mengumpul RM40,000 dalam masa setahun.
“Saya kerja pagi, petang, siang, malam. Alhamdulillah, dalam masa setahun dapat kumpul RM40,000. Jadilah satu majlis yang cukup sederhana tapi bermakna,” katanya.
5. Utamakan kehidupan selepas nikah, bukan majlis sehari
Beberapa pengguna turut menasihati agar tidak terlalu terikut-ikut dengan adat atau majlis yang mewah jika tidak mampu.
Hakikatnya, ramai yang terbeban kerana terlalu mengejar kesempurnaan majlis, sedangkan kehidupan selepas kahwin jauh lebih penting.
“Buat kira-kira betul-betul. Jangan banding dengan orang lain di media sosial. Pandai urus duit dan jangan terburu-buru nak ada anak kalau belum bersedia,” tambah Ainqo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram