
WANITA di Malaysia kini semakin terbuka menjalin hubungan dengan lelaki lebih muda, sekali gus mencetus perubahan besar dalam norma percintaan tempatan.
Menurut Tinjauan Tahunan 2024 oleh agensi jodoh Lunch Actually, 71 peratus lelaki Malaysia bersedia bercinta atau berkahwin dengan wanita lebih tua iaitu peningkatan 17 peratus berbanding 2019.
Sementara itu, 69 peratus wanita juga tidak lagi melihat umur sebagai penghalang dalam mencari pasangan.
"Dulu ramai wanita tanya, tak pelik ke.. Sekarang mereka dengan yakin cakap, kenapa tidak?" kata Ketua Pegawai Eksekutif Lunch Actually, Violet Lim.
BACA LAGI: Berhias, mekap bukan ukuran cantik, berikut cara kenal pasti wanita jenis pembersih atau tidak
BACA LAGI: Bukan hanya dipelihara dalam bingkai, tradisi perlu kekal hidup, terus relevan — Aaron Ago
Dalam tempoh enam tahun lalu, data menunjukkan trend konsisten minat lelaki muda terhadap wanita berusia.
Ramai antara mereka mengakui tertarik kepada kematangan emosi dan keyakinan diri yang dimiliki wanita yang lebih dewasa.
“Dengan dia, saya rasa lebih dihargai dan difahami,” kata Danish, 29, yang sedang menjalinkan hubungan dengan wanita sembilan tahun lebih tua.
Rozita (dua dari kanan) bahagia dengan suaminya, Zain (dua dari kiri).
Perubahan itu turut didorong oleh kisah cinta selebriti tanah air yang berjaya membuktikan bahawa cinta sebenar tidak mengenal angka.
Antara pasangan terkenal termasuk Rozita Che Wan dan Zain Saidin (beza umur 11 tahun), Ning Baizura dan Omar Sharif Dalton (sekitar 5 hingga 8 tahun) serta Sheila Majid dan Acis (beza umur 6 tahun).
Perbezaan umur nyata tidak menghalang kebahagiaan, malah memberi inspirasi kepada masyarakat.
Meskipun percintaan sebegitu semakin diterima, pasangan dengan jurang usia masih berdepan cabaran sosial dan penerimaan keluarga.
Namun pakar percaya, hubungan boleh kekal harmoni jika cabaran itu diurus dengan bijak dengan beberapa cara seperti:
1. Selaraskan matlamat hidup
Pasangan perlu memastikan hala tuju seperti perkahwinan, anak dan kerjaya seiring.
Perbezaan pandangan terhadap masa depan boleh menimbulkan ketegangan jika tidak dibincang lebih awal.
2. Hormati fasa kehidupan masing-masing
Perbezaan umur membawa perbezaan keutamaan dan tanggungjawab.
Saling memahami dan menyokong antara satu sama lain amat penting dalam mengekalkan keseimbangan hubungan.
3. Perkenalkan pasangan secara berperingkat
Penerimaan keluarga dan rakan tidak selalu datang serta-merta.
Memperkenalkan pasangan secara beransur-ansur dan menunjukkan keserasian boleh membantu meleraikan kebimbangan.
4. Kekalkan komunikasi terbuka
Perbezaan usia bukan halangan jika komunikasi dilakukan secara jujur dan berterusan.
Perbincangan terbuka dapat mengelakkan salah faham dan mengukuhkan kepercayaan.
5. Elakkan ketidakseimbangan kuasa
Jurang usia boleh mencetuskan dominasi sebelah pihak, sama ada dari segi kewangan atau pengalaman.
Namun, hubungan perlu diasaskan pada rasa hormat dan kesaksamaan dalam membuat keputusan bersama.