[VIDEO] Dari 'fascinator' ke tiara, kemunculan semula Kate Middleton di acara rasmi istana raih pujian peminat fesyen


  • Gaya
  • Khamis, 10 Jul 2025

Kate Middleton tampil bergaun merah dari Givenchy pada dalam majlis santapan negara manakala pada siangnya, beliau mengenakan sut klasik Dior.

SELEPAS lebih setahun menyepi dari acara rasmi, Puteri Wales, Kate Middleton mencuri perhatian ramai apabila muncul di khalayak ramai sempena lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isteri, Brigitte Macron ke United Kingdom.

Pasangan diraja Wales menyambut kedatangan Presiden Perancis di RAF Northolt sebelum menyertai Perarakan Diraja ke Windsor.

Untuk acara tersebut, Kate tampil anggun dalam sut merah jambu dari Dior. Memadukan antara jaket Bar bersama skirt pleated dari fabrik tulle, 'fascinator' atau topi rona senada pula adalah hasil rekaan Jess Collett.

Kate menyarung kasut tumit tinggi suede Praline dari Gianvito Rossi serta menggenggam beg 'clutch' Bayswater dari Mulberry.

Beliau turut mengenakan sepasang anting-anting mutiara Collingwood yang pernah dimiliki mendiang Puteri Diana, serta kalung tiga lapis mutiara milik mendiang Ratu Elizabeth II.

Gaun Givenchy jadi pilihan

Acara makan malam berprestij berlangsung di Istana Windsor dan dihadiri oleh Raja Charles III, Ratu Camilla, Putera William serta beberapa anggota kanan kerabat diraja British.

Ia merupakan majlis santapan negara pertama diadakan di istana bersejarah itu dalam tempoh 11 tahun.

BACA LAGI: Sudahlah dipaksa kahwin dengan jiran sendiri untuk lunas hutang, wanita disepak terajang, alami keguguran

BACA LAGI: 'Seburuk-buruk manusia adalah dedah aib pasangan', pendakwah jelas erti amanah dalam rumah tangga

Kate kelihatan menawan mengenakan gaun merah Givenchy rekaan pereka tersohor, Sarah Burton iaitu pereka sama yang turut mereka gaun perkahwinan dirajanya pada 2011.

Beliau memadankan penampilan dengan kasut Romy 105 daripada Jimmy Choo dalam material baldu berwarna burgundy.

Lebih menarik, beliau menyarungkan semula tiara kegemarannya, Queen Mary’s Lover’s Knot Tiara yang pernah menjadi ikonik mendiang Puteri Diana.

Beliau turut menggayakan anting-anting milik mendiang Ratu Elizabeth II sehingga menjadikan keseluruhan penampilan beliau begitu klasik dan penuh simbolik.

Di laman Instagram, beliau turut memuat naik gambar bersama Putera William dalam majlis itu.

“Bersedia untuk satu malam yang indah di Santapan Negara Windsor," katanya menerusi kapsyen.

Penampilan itu amat dinanti ramai kerana Kate dilihat kali terakhir mengenakan tiara pada Disember 2023 iaitu ketika menghadiri Majlis Resepsi Diplomatik di Istana Buckingham.

Sebelum itu, beliau turut mengenakan Strathmore Rose Tiara pada majlis santapan negara sempena lawatan Presiden Korea Selatan iaitu satu-satunya penampilan semula tiara tersebut sejak tahun 1930-an.

Secara keseluruhan, beliau telah memakai empat jenis tiara dari koleksi diraja sejak menjadi anggota kerabat diraja pada 2011.

Namun, kemunculan terbaharunya ini lebih istimewa kerana ia hadir selepas tempoh rehat panjang dari tugas rasmi, susulan rawatan kanser yang dijalani sejak awal tahun ini. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram