'Nafkah zahir, layanan semua okey tapi suami kantoi mati pucuk hari pertama kahwin', bolehkah isteri fail cerai?


  • Cinta
  • Khamis, 10 Jul 2025

Seorang lelaki kantoi mati pucuk pada hari pertama perkahwinan. —  Gambar Hiasan

ISU suami mati pucuk kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan warganet selepas seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila mengetahui suaminya tidak mampu menjalankan tanggungjawab nafkah batin seawal hari pertama perkahwinan.

Menurut wanita tersebut, walaupun suaminya memenuhi segala nafkah zahir, bersikap baik dan menjalankan tanggungjawab lain dengan sempurna, namun hubungan inti jarang berlaku.

"Dalam dua bulan, sekali je... Itu pun susah," kata seorang pengguna di laman Threads.

BACA LAGI: Sekolah kebangsaan vs sekolah swasta dan antarabangsa: Mana lebih baik untuk anak anda?

BACA LAGI: Bila waktu sesuai kenalkan anak dengan pasangan baharu selepas bercerai? Ini perkongsian berdasarkan pengalaman nyata

Asyraf menjelaskan bahawa para wanita yang berdepan situasi sedemikian secara undang-undang berhak menuntut fasakh.

Lebih mengecewakan, si suami langsung tidak menunjukkan usaha untuk berubah ataupun berubat walaupun sudah berbincang berulang kali.

Mengulas isu ini, Peguam Syarie, Asyraf A. Ranee menjelaskan bahawa wanita tersebut secara hukum dan undang-undang sememangnya berhak menuntut fasakh atas alasan suami mati pucuk.

“Dalam Seksyen 53(1)(e), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor memperuntukkan bahawa seorang isteri boleh memohon fasakh sekiranya suaminya didapati mati pucuk semasa dan selepas perkahwinan dan keadaan itu masih berterusan hingga menjejaskan kehidupan rumah tangga,” katanya kepada Majoriti.

Menurut beliau, tuntutan fasakh boleh dibuat selagi isteri tidak mengetahui keadaan suaminya sebelum berkahwin dan hanya terbongkar rahsia itu setelah berkahwin.

“Walaupun suami menjalankan tanggungjawab zahir seperti memberi nafkah dan layanan baik, isteri tetap berhak menuntut fasakh jika nafkah batin tidak ditunaikan akibat mati pucuk,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, Asyraf memaklumkan bahawa ada cara lain yang lebih tertutup dan tidak memalukan jika pasangan ingin berpisah tanpa perlu membongkar aib di mahkamah.

“Selain fasakh, pasangan juga boleh memilih untuk bercerai secara baik di bawah Seksyen 47. 

"Jika kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah atas alasan tiada persefahaman, maka perceraian boleh diselesaikan dengan cepat tanpa perlu melalui perbicaraan yang panjang,” katanya.

Perceraian jenis ini lebih mudah dan mesra prosedur, malah tidak memerlukan isteri mendedahkan isu peribadi seperti masalah mati pucuk suami secara terperinci.

“Apabila suami bersetuju, mahkamah akan terus benarkan lafaz cerai dilakukan tanpa menyentuh isu-isu sensitif yang boleh membuka aib mana-mana pihak,” kata Asyraf.

Proses tuntutan fasakh

Namun, jika isteri tetap ingin meneruskan permohonan fasakh, beliau perlu bersedia menjalani proses perbicaraan penuh.

“Permohonan fasakh perlu difailkan di mahkamah syariah. Jika suami tidak mengaku mengalami mati pucuk, isteri boleh mengemukakan bukti seperti laporan perubatan. Kes ini akan melibatkan keterangan lisan, soal balas dan saksi dari kedua-dua pihak,” katanya.

Tambah beliau, proses itu akan mengambil masa kerana ia melibatkan prosedur mahkamah yang lengkap dan terperinci. 

Namun, jika suami mengakui dakwaan dan bersetuju dengan permohonan fasakh, mahkamah boleh membuat keputusan lebih cepat tanpa perlu melalui perbicaraan penuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram